Foodbank YaPEIM 1.0 sumbang daging lembu segar kepada 300 penerima sekitar Sungai Besi

Foodbank YaPEIM 1.0 sumbang daging lembu segar kepada 300 penerima sekitar Sungai Besi

SUNGAI BESI,. Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) malam ini menyerahkan bantuan daging lembu segar kepada 300 penerima di sekitar Sungai Besi menerusi Program Foodbank 1.0 agensi itu.

Program itu, yang berlangsung di Masjid Jamek Ibnu Khaldun di sini, dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli ketika ditemui berkata program itu adalah sebahagian daripada inisiatif baharu yang diambil YaPEIM untuk menyantuni orang ramai daripada kalangan B40, penuntut Institusi Pengajian Tinggi terpilih dan juga mangsa yang terlibat dengan bencana.

“Di kala orang ramai amat memerlukan sejumlah bantuan, terutama makanan dan minuman, saya kira ini merupakan salah satu program yang hadir tepat pada masanya.

“Usaha YaPEIM melaksanakan program sebegini juga memerlukan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berlaku kesinambungan, sesiapa yang dapat menghulurkan derma dan sumbangan kepada YaPEIM, ia amat dialu-alukan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program itu.

Beliau berkata kementeriannya sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan program yang dapat memanfaatkan masyarakat pada masa akan datang.

“Kita harap dapat bekerjasama dengan NGO-NGO untuk kita terus beri sumbangan kepada masyarakat, (ini kerana) antara perbincangan (di peringkat kerajaan) ialah bagaimana kita ingin turunkan kos sara hidup serta membantu mereka yang memerlukan bantuan, antaranya golongan B40,” kata Zulkifli.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata pihaknya memperuntukkan RM4 juta untuk melaksanakan program tersebut di seluruh negara.

“Sehingga kini, 264 lokasi pengagihan foodbank yang melibatkan makanan kering, sedia dimakan dan daging segar dilaksanakan di seluruh negara dengan penerima manfaat berjumlah 254,337 orang.

“Melalui program sebegini, kita bukan sahaja hanya menyediakan bantuan keperluan asas iaitu makanan dan barang keperluan, malahan kita turut menyediakan platform untuk memperkasa usahawan-usahawan sebagai pembekal (kepada program ini),” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )