Fish Station jamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara

Fish Station jamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara

PUTRAJAYA,. Program Fish Station yang dilancarkan dilihat dapat memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara dengan memberikan penekanan dalam subsektor padi, ruminan dan perikanan sekali gus selaras dengan hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, Program Fish Station ini dapat menambah baik ekosistem industri pertanian bagi menyokong pemodenan pertanian, pelaburan sektor swasta dan aktiviti pengembangan khususnya untuk petani, penternak dan nelayan.

“Ia turut memperkukuhkan struktur organisasi jabatan dan agensi di bawah MAFI untuk menambah baik sistem penyampaian serta tadbir urus.

“Selain itu, program ini dapat merancakkan penglibatan pelaburan swasta dalam pertanian secara komersial serta meningkatkan dagangan eksport pertanian sekali gus menjadikan ia sebagai satu sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan untuk petani, penternak, nelayan dan agropreneur muda.

“Pada masa sama MAFI berharap industri perikanaan hiliran ini mampu menjana pendapatan lumayan kepada golongan agropreneur muda,” katanya pada Majlis Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Perikanan Malaysia Tahun 2020 di Pelancaran Fish Station Dewan Serbaguna, Putrajaya semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri MAFI I Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri MAFI II Datuk Che Abdullah Mat dan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Munir Mohd Nawi.

Jelas Ronald lagi, Program Fish Station dilancarkan dengan kerjasama rakan strategik di peringkat ibu pejabat dan negeri-negeri yang berkonsepkan promosi, jualan, pemadanan perniagaan, demonstrasi, pameran dan aktiviti serta inovasi produk-produk berasaskan perikanan.

“Terdapat empat pengisian yang akan diterapkan dalam program ini antaranya ialah Promosi dan Jualan Produk Perikanan, Promosi Produk Inovasi, Demonstrasi Produk dan Peralatan Perikanan, dan aktiviti Aquarius,” katanya.

Berucap lanjut, Ronald berkata, persidangan kali ini mengumpulkan pegawai-pegawai kanan Jabatan Perikanan Malaysia yang terlibat dalam perancangan hala tuju Jabatan bagi 10 tahun akan datang berasaskan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama, RMK12 dan RMK13.

“Tema persidangan ‘Norma Baharu Industri Perikanan’ ini adalah amat bertepatan dengan keperluan fasa pemulihan ini.

“Persidangan ini juga merupakan platform di mana pegawai-pegawai di ibu pejabat, negeri-negeri serta institut penyelidikan berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan untuk memastikan pembangunan hala tuju jabatan yang mantap.

“Harapan saya ialah agar hala tuju yang akan dibangunkan boleh menyema-rakkan lagi industri perikanan negara dan pada masa yang sama menjamin kelestarian sumber yang amat penting ini,” katanya.

Persidangan pada tahun 2020 ini memberi penekanan kepada lapan perkara penting yang menjadi tumpuan utama dalam melaksana fungsi DOF dalam mengurus sektor perikanan negara secara mampan.

Antaranya ialah Halatuju Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), Pengurusan Perikanan Tangkapan, Pembangunan Akuakultur Ke Arah Peningkatan Pengeluaran, Kelestarian Sumber Perikanan, Norma Baharu MCS, Sokongan Penyelidikan Ke Arah Peningkatan Pengeluaran dan Kelestarian Sumber Perikanan, Norma Baharu Pengembangan dan Pembangunan Sumber Manusia.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )