Felcra catat keuntungan Interim 1/2021 berjumlah RM135.15 juta

Felcra catat keuntungan Interim 1/2021 berjumlah RM135.15 juta

KUALA LUMPUR,. Felcra Bhd merekodkan keuntungan Interim 1/2021 berjumlah RM135.15 juta bagi tempoh kewangan 1 Jan, 2021 hingga 30 April, 2021 sekali gus menjadi peningkatan ketara 146 peratus daripada RM54.93 juta yang dicatatkan pada tempoh sama 2020, bagi projek-projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P).

Syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) itu menjelaskan daripada jumlah keuntungan tersebut, RM74.31 juta akan dibayar sebagai Agihan Interim 1/2021 secara berperingkat bermula 23 Ogos ini kepada 63,353 peserta daripada 656 projek yang mencatatkan keuntungan.

Manakala, agihan bulanan berjumlah RM4.17 juta telah dibayar bagi tempoh Januari hingga April 2021, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran Agihan Interim 1/2021 yang tercatat adalah RM78.48 juta.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, baki lebihan keuntungan akan dibayar bersama agihan akhir 2021 setelah pelarasan akaun dan tabungan dibuat,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata di sebalik kadar keuntungan yang lebih baik bagi Interim 1, Felcra tetap akur bahawa beberapa faktor memerlukan lagi penambahbaikan seperti kadar produktiviti dan kos operasi ladang peserta.

“Bagaimanapun, pelbagai usaha transformasi syarikat sejak 2018 telah memberikan impak positif kepada kadar keuntungan, contohnya pelaksanaan konsep GAP (Amalan Pertanian Baik) dalam proses harian pengurusan estet,” katanya.

Beliau berkata Felcra juga terus menyediakan peluang pekerjaan di estet-estet demi membangunkan kepakaran penuaian dalam kalangan modal insan tempatan, dengan 2,500 pengendali tuaian dijangka diperlukan di seluruh negara untuk memenuhi keperluan penuaian dan pengurusan pokok.

Pengolahan optimum proses perniagaan perladangan peserta dan komersial Felcra juga memberikan impak positif dari segi pengurusan kewangan, pelaporan, pengurusan pembajaan dan lain-lain proses aliran kerja yang berkaitan pengurusan operasi harian, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)