Fasa satu SSLR bernilai RM1.13 bilion tidak termasuk kategori projek Jana Wibawa

Fasa satu SSLR bernilai RM1.13 bilion tidak termasuk kategori projek Jana Wibawa

KUALA LUMPUR,. Pelaksanaan fasa satu projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang dianugerahkan secara runding terus kepada Samling Resources Sdn Bhd tidak termasuk dalam kategori projek Jana Wibawa, sebuah program bertujuan memperkasa kontraktor Bumiputera berwibawa.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan semalam berkata pelaksanaan fasa satu itu yang melibatkan pembinaan jalan piawaian Jabatan Kerja Raya R3 dari bandar Lawas ke persimpangan Long Lopeng sepanjang 77 kilometer (km), dianugerahkan kepada Samling Resources pada September tahun ini dengan harga kontrak sebanyak RM1.13 bilion.

Katanya keputusan menganugerahkan projek itu secara rundingan terus kepada syarikat berkenaan diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada Januari 2020, berdasarkan persetujuan dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, lanjutan daripada perakuan oleh bekas Menteri Kerja Raya.

“Pemilihan Samling Resources Sdn Bhd, iaitu syarikat subsidiari Kumpulan Samling, dibuat oleh kerajaan berasaskan kepada pertimbangan faktor harga yang kompetitif dan pengalaman kerja serta kemudahan urusan logistik ditawarkan syarikat berkenaan,” menurut kenyataan itu sebagai mengulas isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman di Dewan Rakyat semalam.

Semalam, semasa sesi perbahasan Bajet 2022 peringkat jawatankuasa, Azis mempersoalkan kenapa projek terbabit diberi kepada syarikat bukan Bumiputera dan meminta Kementerian Kewangan memberi penjelasan mengenai pelaksanaan program Jana Wibawa.

KKR berkata SSLR adalah projek melibatkan jarak melebihi 300km dengan anggaran kos keseluruhan RM4.5 bilion, yang bakal menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara jiran, Brunei Darussalam.

Bagaimanapun mengambil kira kos projek yang tinggi, menurut KKR pembinaan projek perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama telah diluluskan oleh agensi pusat pada 2019, iaitu dalam Rolling Plan ke-3 Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dengan siling peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.2 bilion.

Mengenai penglibatan syarikat Kimlun Sdn Bhd dalam projek itu yang turut dibangkitkan oleh Azis, KKR berkata ia merupakan Subkontraktor Dinamakan (NSC) yang dilantik oleh kontraktor utama (Samling Resources Sdn Bhd) untuk skop kerja-kerja pembinaan dengan harga sebanyak RM780 juta.

“Harga subkontrak tersebut tidak termasuk kos-kos lain dalam pelaksanaan projek seperti kos pengambilan balik tanah, pengalihan utiliti, kos jururunding dan lain-lain kos sampingan,” menurut KKR. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )