FAM kongsi usaha stabil industri bola sepak dengan PM

FAM kongsi usaha stabil industri bola sepak dengan PM

KUALA LUMPUR,. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah berkongsi mengenai usaha mereka dalam menstabilkan semula industri bola sepak negara yang masih terkesan dengan impak COVID-19 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kunjungan hormat di Bangunan Parlimen, semalam.

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengetuai delegasi FAM dalam pertemuan itu memaklumkan mereka juga membentangkan dengan terperinci mengenai kalendar dan pengurusan terkini pasukan kebangsaan, pengurusan pertandingan domestik dan antarabangsa kepada Ismail Sabri.

Selain itu, Hamidin berkata program pembangunan teknikal dengan matlamat memperkasakan lagi pasukan kebangsaan termasuk pasukan bawah 22 tahun, bola sepak wanita, belia, bola sepak pantai dan futsal merupakan antara topik yang disentuh semalam.

“Turut dibincangkan ialah perkembangan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketujuh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Presiden FAM dari 1984 hingga 2014,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook FAM hari ini.

Turut mengiringi Hamidin ialah dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi bersama Datuk S.
Sivasundaram; Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Dalam pada itu, Hamidin juga memohon pandangan perdana menteri mengenai usaha membangunkan tanah hak milik FAM yang lain bagi tujuan pembangunan bola sepak Malaysia di peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat antarabangsa.

Hamidin pada masa sama percaya Ismail Sabri adalah seorang pemimpin yang arif dan mampu memahami situasi semasa industri bola sepak negara, memandangkan beliau pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 2008 sehingga 2009.

Sehubungan itu, Hamidin berpendapat pandangan Ismail Sabri penting buat FAM terutama dalam melaksanakan perancangan strategik jangka masa sederhana dan panjang untuk kemajuan industri bola sepak negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )