Enam kategori pelajar IPT dibenar ke kampus 1 Mac depan – KPT

Enam kategori pelajar IPT dibenar ke kampus 1 Mac depan – KPT

KUALA LUMPUR,. Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan enam kategori pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang berkeperluan, untuk pulang ke kampus masing-masing mulai 1 Mac bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan, enam kategori itu merangkumi pelajar peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah, yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.

Turut dibenarkan ke kampus ialah pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif untuk PdP dalam talian, pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom, pelajar orang kurang upaya (OKU) dan pelajar peperiksaan Malaysia University EnglishTest (MUET), antarabangsa dan badan profesional.

“Pelajar asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus, boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid.

“Pelajar bukan kategori pelajar berkeperluan pula akan meneruskan PdP secara dalam talian,” menurut kenyataan kementerian itu, hari ini.

Pelaksanaan PdP secara hibrid di dalam kampus boleh dijalankan, dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dan mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar.

Sementara itu, pelajar berkeperluan dari Semenanjung yang pulang ke kampus di Sabah dan Sarawak, diwajibkan untuk menjalani ujian swab yang akan dibiayai Kementerian Kesihatan.

“Bagi pelajar yang tiba di Sarawak, mereka diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari, sebelum dibenarkan pulang ke kampus dengan kos makan dan kuarantin mulai 1 Mac, akan ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri Sarawak,” katanya.

Pelajar dari Sabah dan Sarawak pula akan ditempatkan di pusat pengasingan yang ditentukan oleh IPT masing-masing, bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang gejala COVID-19.

Pelajar disarankan untuk merujuk kepada SOP kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang sedang berkuat kuasa, manakala pihak IPT boleh merujuk kepada SOP sektor pengajian tinggi sedia ada yang telah diwartakan.

Maklumat lanjut mengenai urusan kemasukan ke IPT, boleh berhubung dengan Bilik Gerakan COVID-19 KPT (24 jam) di talian 03-8870 6777/6949/ 6623/ 6628 atau melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )