Empat remaja ditangkap orang awam ragut wanita

Empat remaja ditangkap orang awam ragut wanita

KUALA LUMPUR,. Tindakan pantas orang awam berjaya menggagalkan cubaan ragut oleh empat remaja ke atas seorang wanita di Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata dalam kejadian pada 8.40 malam itu, suspek remaja perempuan berusia 16 mendekati mangsa yang berada di tepi jalan untuk meminjam telefon bimbit dengan alasan mahu menghubungi ibunya.

“Ketika mangsa sedang menaip nombor yang diberikan, suspek bertindak merampas telefon bimbit itu dan melarikan diri.

“Orang ramai yang berada di sebuah kedai makan berhampiran tempat kejadian bertindak mengejar suspek dan tiga lagi rakan lelakinya,” katanya kepada Bernama sambil menambah bahawa kesemua remaja lelaki yang berusia lingkungan 14 hingga 17 tahun dan remaja perempuan itu diserahkan kepada Balai Polis Salak Selatan Baru untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata semakan mendapati keempat-empat suspek sudah tidak bersekolah, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tidak terbabit dalam pengambilan dadah.

Katanya suspek ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)