Elak keracunan di musim perayaan

Elak keracunan di musim perayaan

KUALA LUMPUR,. Musim Aidilfitri yang bakal menjelang cukup sinonim dengan aktiviti kunjung-mengunjung dan hidangan pelbagai juadah makanan.

Namun jika tidak berhati-hati, masalah keracunan makanan yang berpunca daripada makanan tercemar atau tidak dimasak dengan baik boleh mengakibatkan suasana raya yang meriah menjadi suram.

Pengarah Pusat Jaminan Kualiti Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Amin Ismail berkata makanan yang tidak dimasak dengan baik akan menyebabkan percambahan bakteria jahat yang boleh mengakibatkan keracunan makanan jika dimakan.

Makanan terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama seperti sayur-sayuran boleh dimakan mentah, cukup hanya dibasuh dengan baik. Kumpulan makanan kedua pula seperti daging, telur atau ikan ialah makanan yang tidak boleh dimakan mentah.

“Kumpulan makanan yang tinggi protein ini perlu dimasak pada suhu tertentu bagi memastikan keselamatan makanan terjamin. Setelah dimasak, penyimpanannya juga perlu dititikberatkan supaya tidak terdedah kepada bakteria jahat,” katanya ketika ditemubual Bernama.

Beliau yang juga Profesor di Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM turut berkata makanan yang berkuah lebih berpotensi mengakibatkan pertumbuhan bakteria yang tinggi jika tidak disimpan dengan baik.

“Oleh itu, perlu hangatkan dulu makanan sebelum dihidang kepada tetamu yang datang. Jangan hidang makanan yang dibiarkan semalaman dan tidak ditutup dengan baik. Jika telah berbuih atau berlendir, jangan makan atau hidangkan,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar mengambil makanan secara bersederhana dan pastikan makanan yang diambil adalah bersih walaupun aktiviti ziarah-menziarahi telah dibenarkan di fasa peralihan endemik ini.

Sementara itu, seorang peniaga makanan menu raya yang telah berniaga sejak 2011, Mohd Azroy Jalaluddin menggunakan cara pembungkusan retort bagi membunuh kuman di dalam makanan yang dibungkus dan memastikan keselamatan makanan terjamin.

Kaedah retort ialah teknologi terkini pembungkusan makanan yang menggunakan retort pouch bagi menjamin kualiti dan kesegaran makanan. Bakteria akan dibunuh setelah makanan telah siap dikedap dan disterilkan.

Beliau yang juga pemilik GoBite Malaysia menjual menu hari raya termasuklah produk masakan signature ‘Daging Masak Hitam Manis’ menggunakan kaedah itu.

“Produk daging masak hitam ini boleh bertahan selama dua tahun jika disimpan pada suhu bilik. Kaedah retort ini juga berfungsi memastikan ketahanan makanan bagi pengeposan untuk pelanggan jauh,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Azroy yang berkelulusan Diploma Seni Kulinari dari Management & Science University berkata bagi memastikan kualiti makanan yang dijual terjamin, kebiasaannya barang mentah tidak dibeli terlalu awal.

“Saya akan simpan bahan mentah tersebut di tempat yang sebaiknya dan cara masak juga diberikan perhatian sepenuhnya untuk mengelakkan keracunan makanan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )