EAC adakan lebih 150 sesi libat urus bersama 23 industri sejak Mac 2020

EAC adakan lebih 150 sesi libat urus bersama 23 industri sejak Mac 2020

KUALA LUMPUR,. Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mengadakan lebih 150 sesi libat urus bersama 23 industri merangkumi pelbagai sektor termasuk ekonomi digital, pendidikan, pelaburan, pembuatan, perusahaan kecil dan sederhana, pelancongan, pengangkutan dan kesihatan, sejak Mac lepas.

Menurut EAC, sesi tersebut dilaksanakan bagi memastikan kerajaan dapat benar-benar mengenal pasti dan menangani cabaran yang dihadapi di peringkat dasar.

“Hasil daripada libat urus tersebut dibentangkan di mesyuarat EAC agar jalan penyelesaian dapat dirangka oleh kerajaan. Antara pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang telah dirangka adalah PRIHATIN (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat) dan PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara).

“Selain tindakan jangka pendek, krisis pandemik COVID-19 juga memerlukan Malaysia membuat pemulihan yang bersifat jangka panjang dan berstruktur serta pembaharuan hala tuju ekonomi untuk menepati landskap dan hala tuju pasca-COVID-19,” menurut EAC dalam kenyataan, hari ini.

Majlis itu berkata pandemik COVID-19 yang menjadi krisis global telah memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi di semua negara di seluruh dunia.

“Dalam hal ini, kerajaan mengambil tindakan proaktif dan merencanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan impaknya terhadap rakyat, perniagaan dan ekonomi secara keseluruhan,” kata EAC.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata bengkel yang dianjurkan itu merupakan antara beberapa bengkel khusus yang akan diadakan untuk membincangkan cadangan langkah penyelesaian berkaitan cabaran yang telah dikenal pasti.

“Fokus perbincangan pada bengkel siri pertama ini menumpukan pengumpulan input daripada semua peserta yang mewakili pelbagai sektor, mengenai masa depan dunia pekerjaan kita.

“Segala dapatan atau cadangan akan diteliti oleh EAC untuk dipertimbangkan bagi pelan pemulihan ekonomi pasca-COVID-19 jangka sederhana dan juga Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat Bengkel EAC bertajuk Malaysia’s Future Workforce (Tenaga Kerja Masa Depan Malaysia) di Kompleks Setia Perdana Putrajaya, semalam.

Bengkel bagi Penyediaan Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca-COVID-19 itu telah dihadiri oleh lebih 100 peserta daripada pelbagai agensi seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Talent Corp, Pembangunan Sumber Manusia Bhd, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia serta Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )