Dua rakan didakwa rompak wanita warga Jepun, Perancis

KUALA LUMPUR,. Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua wanita warganegara Jepun dan Perancis, Januari lepas.

Penjual burger Muhammad Nor Azizi Zainal Abidin, 25, dan peniaga Sharifuden Mohd Idzaham Shah, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan ke atas pengurus syarikat perkhidmatan perubatan Anna Yamauchi, 33, yang merupakan warga Jepun dan pekerja syarikat telekomunikasi warga Perancis, Claire Barbara Marie Bolard, 47, membabitkan barangan antaranya dua telefon bimbit, kad Mesin Teller Automatik (ATM), pasport, syiling emas dan wang tunai milik mangsa.

Mereka didakwa merompak Bolard di tepi Jalan Tun Razak di sini pada pukul 11.15 pagi, 20 Jan dan Yamauchi di hadapan pos pengawal sebuah kondominium di Jalan Medan Tuanku, di sini pada pukul 10.30 pagi 21 Jan dan pertuduhan ke atas mereka mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Muhammad Nor Azizi turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merompak dengan meragut beg silang yang mengandungi sebuah telefon bimbit, wang tunai RM700 dan barangan peribadi milik pelayan kafe wanita warga Filipina, Gladys Mongcal ,35.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Ceylon, Bukit Ceylon di sini pada 8.40 pagi, 20 Jan lepas mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sharifuden turut didakwa atas pertuduhan memiliki harta rompak iaitu sebuah telefon bimbit di sebuah bilik hotel di Kota Damansara di sini pada 9 pagi, 29 Jan lepas mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira perbuatan mereka adalah kesalahan serius.

Bagaimanapun, peguam Effa Ruzanna Anuar yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga.

“Sharifuden membantu kakaknya dengan berniaga dan perlu menyara ibu, isteri dan lima anak manakala Muhammad Nor Azizi bekerja sebagai penjual burger masih belum berkahwin dan tinggal bersama ibunya.

“Mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan saya percaya mereka akan hadir ke mahkamah pada setiap prosiding,” katanya.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )