Dua pelumba Petronas Yamaha SRT raih petak hadapan di GP San Marino

Dua pelumba Petronas Yamaha SRT raih petak hadapan di GP San Marino

KUALA LUMPUR,. Pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo, mempamerkan persembahan cemerlang selepas berjaya meraih petak hadapan untuk perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino, di Litar Misano, esok.

Morbidelli dan Quartararo masing-masing mencatat masa 1 minit 31.723 saat (s) dan 1:31.791s untuk berada di tempat kedua dan ketiga pada sesi kelayakan hari ini.

Pelumba Sepanyol, Maverick Vinales dari pasukan Monster Energy Yamaha, meraih petak utama untuk kali kedua selepas GP Austria bulan lepas, dengan mencatat masa 1:31.411s.

“Saya merasa cukup kuat dan saya yakin mampu melakukan catatan masa sepusingan terbaik. Namun, Maverick tampil lebih baik. Bagaimanapun, permulaan dari barisan hadapan cukup penting bagi kami dan kami akan berusaha untuk memberikan saingan terbaik esok kerana kami bermula dari kedudukan yang baik,” kata Morbidelli selepas sesi kelayakan.

Sementara dalam kelas Moto2, dua pelumba Petronas Sprinta Racing, Xavi Vierge dan Jake Dixon akan memulakan perlumbaan esok dari tempat keenam dan ke-17, selepas masing-masing mencatat masa 1:36.663s dan 1:37.435s.

Pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah yang mewakili Aspar Team, yang kembali beraksi selepas tidak berlumba pada GP Styria bulan lepas akibat kecederaan, meraih kedudukan ke-14 dengan catatan masa 1:37.106s pada pusingan kelayakan hari ini.

Pelumba Petronas Sprinta Racing dalam saingan kelas Moto3, John McPhee dari Great Britain, akan bermula di tempat ke-17 untuk perlumbaan esok selepas mencatat masa 1:43.327s.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )