Dua Kanak-Kanak Antara Sembilan PATI Ditahan

Dua Kanak-Kanak Antara Sembilan PATI Ditahan

LABUAN,. Polis menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua kanak-kanak dalam operasi di kawasan perkampungan Kiansam, di sini, hari ini.

Dalam operasi jam 1 pagi itu, antara lain yang ditahan adalah dua wanita berusia 42 dan 20 tahun dan lima remaja lelaki 12 hingga 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, semua PATI terbabit ditahan dalam operasi di dua lokasi berasingan yang dijalankan secara serentak di kampung berkenaan.

Katanya, semua mereka adalah warga Filipina dan ditahan atas kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen diri yang sah.

“Hasil siasatan terhadap tangkapan kanak-kanak itu mendapati, kedua-dua mereka sudah lama menetap di Labuan bersama kedua-dua ibu bapa masing-masing.

“Kedua-dua ibu bapa suspek warga Filipina tetapi memiliki Kad Pemastautin Tetap. Namun kedua-dua anaknya pula tidak memiliki sebarang dokumen diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Muhamad Farid berkata, tangkapan berasingan yang membabitkan wanita usia 42 tahun itu pula didapati sudah berada di negara ini sejak 2018 bersama enam orang anaknya berusia 12 hingga 20 tahun.

Katanya, mereka datang ke negara ini untuk mencari kerja tanpa menggunakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun suami wanita ini dikatakan sudah pulang ke Zamboanga, Filipina sejak Januari 2020 sehingga sekarang,” katanya.

Muhamad Farid berkata, semua tangkapan direman selama 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1953/69.

“Jika disabitkan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan boleh dikenakan enam kali sebatan,” katanya. – Berita Sabah

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )