Dua ADUN keluar dari blok kerajaan tidak gugat kestabilan politik Sabah

KOTA KINABALU,. Tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar daripada blok kerajaan negeri tidak akan menggugat kestabilan politik Sabah.

Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Dr Yusof Yacob berkata kerajaan Sabah masih kukuh dengan 45 kerusi dan yakin semua ADUN kerajaan negeri yang ada akan kekal setia dan menjaga kredibiliti mereka.

“Keputusan mereka (dua ADUN) untuk meninggalkan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) dan tidak lagi menyokong kerajaan Sabah bukanlah sesuatu yang mengejutkan namun kami menghormati keputusan yang dibuat,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.

Yusof berkata semua wakil rakyat di negeri ini telah menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk terus mentadbir negeri dan menuntut hak-hak Sabah daripada kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata ADUN Sabah sentiasa mengikuti perkembangan politik semasa dan mereka juga mempunyai pertimbangan dan melihat jauh ke hadapan demi rakyat Sabah.

Hari ini ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury dan ADUN Sugut Datuk James Ratib menjadi ADUN Bebas setelah mengumumkan keluar daripada UPKO dan menyokong Perikatan Nasional (PN) demi pembangunan kawasan mereka.

Pada 11 Jun lalu, Limus dan James merupakan antara tiga ADUN yang tidak menghadiri majlis perjumpaan bersama Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan di Pusat Pentadbiran Negeri.

Kedudukan kerusi terkini blok kerajaan mempunyai 45 kerusi termasuk empat ADUN dilantik manakala blok pembangkang 20 kerusi termasuk seorang ADUN dilantik. DUN Sabah ketika ini mempunyai 65 kerusi termasuk lima ADUN dilantik dan majoriti mudah semasa adalah 33 kerusi.

Blok kerajaan terdiri daripada Warisan 31 kerusi, DAP (enam), UPKO (dua), PKR (dua) dan empat ADUN dilantik. Blok pembangkang pula meliputi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sembilan kerusi, Parti Bersatu Sabah (empat), STAR (tiga), Bebas (dua), UMNO (satu) dan satu ADUN dilantik.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )