Dr Noor Hisham mahu petugas kesihatan supaya saling prihatin

Dr Noor Hisham mahu petugas kesihatan supaya saling prihatin

KUALA LUMPUR,. Petugas kesihatan diingatkan supaya saling mengambil berat dan menjaga sesama sendiri, sebagaimana mereka menjaga pesakit dalam menghadapi minggu-minggu mencabar akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penting untuk petugas kesihatan menggunakan pertimbangan akal dan melaksanakan semua langkah berwaspada dalam aspek kesihatan awam dan sosial.

“Kini, kita telah mempunyai peralatan, sumber dan strategi untuk melindungi diri. Kita mengalu-alukan tahun baharu 2022 dengan harapan dan doa, semoga akhirnya, negara menjadi lebih kuat dan bersatu,” katanya menerusi hantaran di akaun sosial media beliau, hari ini.

Beliau berkata Malaysia selamanya terhutang budi kepada petugas kesihatan dan pengorbanan mereka, memandangkan 2021 merupakan tahun yang mencabar bagi kumpulan itu, terutama individu yang bekerja siang dan malam dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan tidak terhingga dan rasa bangga kepada anda semua di seluruh negara atas usaha tanpa jemu dan pengorbanan yang melangkaui bidang tugas. Terima kasih kepada setiap petugas.

“Hari ini kita berada dalam situasi krisis dalam krisis, susulan bencana banjir yang melanda negara ketika pandemik. Kita belum melepasi situasi bahaya ini dan harus bersama-sama terus berjuang, selain meneruskan penjagaan kita terhadap pesakit dan rakyat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )