Dividen simpan SSPN 2023 dijangka meningkat – PTPTN

Dividen simpan SSPN 2023 dijangka meningkat – PTPTN

KUALA LUMPUR,. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjangkakan pemberian kadar dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi 2023 akan meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim dalam kenyataan hari ini berkata ini susulan peningkatan keuntungan pelaburan dan trend prestasi deposit Simpan SSPN setiap tahun serta disokong pelbagai keistimewaan dan manfaat Simpan SSPN.

“Pada 2023, PTPTN merekodkan pulangan pelaburan deposit Simpan SSPN sebanyak RM287.64 juta bagi tempoh Januari sehingga September 2023, sekali gus menyaksikan pencapaian hasil pelaburan yang lebih baik berbanding RM220.63 juta bagi tempoh yang sama tahun 2022.

“Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR)) kepada 3.0 peratus pada 3 Mei 2023 sehingga kini membantu PTPTN memperoleh pulangan pelaburan yang lebih konsisten,” katanya.

Beliau berkata peningkatan keuntungan ini disokong kaedah pelaburan patuh Syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan tinggi.

Pemberian kadar dividen Simpan SSPN bagi 2022 adalah sebanyak 3.05 peratus.

Norliza berkata pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang dan penglibatan pelaburan dalam pasaran sukuk turut membantu meningkatkan pulangan pelaburan itu, selaras hasrat kerajaan bagi memastikan simpanan dalam Simpan SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi.

“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memperkasakan amalan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi melalui Simpan SSPN.

“PTPTN akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman. PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai ‘Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara”, katanya.

Beliau menyeru ibu bapa supaya membuat simpanan di Simpan SSPN bagi menikmati manfaat antaranya perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk keluarga yang layak selain simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Simpan SSPN juga adalah satu-satunya produk simpanan yang menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )