
‘Harap bersabar, kerajaan akan umum diskaun 50 peratus tol Aidilfitri’
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan langkah pemberian diskaun bagi bayaran tol sempena Aidilfitri seperti mana dilaksanakan ketika sambutan Tahun Baharu Cina.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata namun pemberian potongan tol sebanyak 50 peratus daripada kadar tol biasa itu, akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
“Memang kita akan ada sebab sudah buat Tahun Baharu Cina, takkan tidak buat untuk Aidilfitri… nanti kita akan umumkan kepada mereka yang hendak balik kampung, memang ada (diskaun tol).
“Kita buat seperti mana Tahun Baharu Cina iaitu 50 peratus… cuma kena sabar sikit kerana kena diperhalusi,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian pada program lawatan kerja rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kementerian Kerja Raya (KKR), di sini.
Ditanya sama ada pemberian potongan tol itu ada dibincangkan bersama Perdana Menteri ketika lawatan kerja berkenaan, beliau memaklumkan perkara itu tidak termasuk dalam perbincangan terbabit.
Ketika sambutan Tahun Baharu Cina Januari lalu, kerajaan bersetuju memberi potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa.
Keputusan ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet ketika itu membabitkan implikasi kewangan ditanggung kerajaan RM20.08 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Januari lalu, KKR memaklumkan dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini.
Dalam perkembangan berasingan, Alexander berkata Anwar sewaktu lawatan kerja rasmi itu mengingatkan supaya KKR mempercepat pelaksanaan projek bersifat mendesak bagi kemudahan rakyat.
Beliau berkata, Perdana Menteri turut mahu projek dilaksanakan bersifat tidak membazir dan berbaloi dengan jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan.
“Kita menghargai lawatan Perdana Menteri yang mengambil masa lebih sejam untuk membawa agenda tertentu yang sangat spesifik supaya KKR meningkatkan prestasi.
“Ini kerana KKR adalah kementerian pelaksana yang sangat penting dalam negara, berikutan bagi pembangunan negara ia memerlukan aspek pembinaan.
“Kita juga mengambil maklum perkara yang dikehendaki Perdana Menteri iaitu dalam aspek projek bersifat kritikal dan juga kos perniagaan supaya ia berbaloi dengan perbelanjaan dikeluarkan,” katanya.
Pertemuan warga kerja KKR bersama Perdana Menteri turut disertai agensi antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lembuhraya Malaysia (LLM).