Didakwa edar 1.6 kanabis: Lelaki terlepas tali gantung

PUTRAJAYA,. Seorang lelaki hari ini terlepas daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Rayuan di sini mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadapnya kerana mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.6 kilogram, empat tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said memerintahkan bekas pekerja bengkel membaiki sofa, Ahmad Kamil Anuar, 37, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas mendapati terdapat kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang oleh hakim Mahkamah Tinggi ketika mensabitkannya dengan kesalahan mengedar dadah.

“Kami berpuas hati sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat untuk dikekalkan. Oleh itu, sabitan diketepikan dan perayu dilepas dan dibebaskan,” kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah.

Kelihatan isteri kepada perayu, yang hadir pada prosiding hari ini menangis teresak-esak semasa panel hakim memberi keputusan dan sebaik sahaja mahkamah berhenti bersidang, bapa Ahmad Kamil yang turut dilihat menangis mendekati anaknya sambil menggosok kepala lelaki itu dengan lembut sebelum pergi ke arah menantunya dan menenangkan wanita tersebut.

Ahmad Kamil merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Sept 2020 yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya kerana didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.6 kilogram di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju pada 3.45 petang, 7 Okt 2018.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim @ Husaini manakala peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Bisyri Abdul Razak, mewakili Ahmad Kamil. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )