Deraf Dasar Francais Negara 2030 di peringkat akhir

Deraf Dasar Francais Negara 2030 di peringkat akhir

PUTRAJAYA: Deraf Dasar Francais Negara (DFN) 2030 kini di peringkat akhir perbincangan dan dijangka dibentangkan pada mesyuarat jemaah menteri Januari depan, kata Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Libat Urus Dasar Francais Negara di sini hari ini yang dihadiri lebih 200 pemain industri, beliau berkata sesi kali ini adalah yang terakhir sebelum pembentangan deraf tersebut.

“Walaupun di peringkat akhir, kesemua pemain industri sektor francais masih boleh mengemukakan pandangan bagi tujuan penambahbaikan dasar berkenaan,” katanya sambil menambah DFN itu dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan.

Armizan berkata DFN 2030 yang meletakkan nilai sasaran jualan RM100 bilion menjelang 2030, bukan sahaja untuk memastikan produk francais Malaysia berjaya ke pasaran antarabangsa tetapi juga memperkenalkan jenama francais tempatan yang boleh menjadi pilihan di banyak negara.

DFN akan menggariskan hala tuju lebih jelas dan ruang untuk industri ini berkembang secara lebih holistik dalam usaha menjadikan industri francais sebagai antara penyumbang utama kepada kemampanan ekonomi negara, katanya.

Beliau berkata ini sejajar dengan matlamat Ekonomi MADANI untuk melonjakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Setakat ini, 70 jenama francais tempatan telah berkembang dan menembusi pasaran dunia di 80 buah negara, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )