Deepavali tambah rezeki perniagaan ayah dan anak, gilap barangan logam

Deepavali tambah rezeki perniagaan ayah dan anak, gilap barangan logam

KUALA LUMPUR,. Bermula dengan hanya 10 pelanggan sebulan, kini perniagaan menggilap barangan logam, gandingan ayah dan anak dari Ipoh, Perak ini semakin berkembang dengan lebih 3,000 pelanggan.

Menurut B. Kanishen, Pengarah syarikat Cleanstant Metal Polishing yang berpangkalan di Ipoh, syarikat yang diasaskan oleh beliau dan ayahnya M Balakrishnan kini mempunyai tiga cawangan di Malaysia, bagi memenuhi permintaan pelanggan dalam negara dan juga dari Singapura.

“Ibu pejabat kami di Ipoh, dan juga cawangan-cawangan di Selangor dan Johor kini tak menang tangan kerana tempahan yang banyak untuk memenuhi keperluan dari kuil, hotel, syarikat penyajian dan ornamen India,” katanya dalam temu ramah dalam talian dengan Bernama baru-baru ini.

“Semasa kami mulakan perniagaan kami dalam kalangan masyarakat India, ramai tidak tahu akan perkhidmatan ini kerana mereka biasanya gilap barangan loyang mereka sendiri di rumah. Pada ketika itu, terdapat perkhidmatan mengilap hanya untuk jubin dan marmar,” tambah Kanishen.

Usahawan berusia 39 tahun ini turut berkongsi, perniagaan keluarganya itu terhasil sebagai cabang baharu daripada syarikat perkhidmatan kawalan anai-anai sedia ada , Kilstant International, yang pernah memberi perkhidmatan untuk Istana Zabeel Dubai dari tahun 2021 hingga 2023.

Menurut Kanishen selain pelanggan India yang biasanya membawa barangan sembahyang mereka, ornamen dan patung untuk digilap, pihaknya juga mempunyai pelanggan Melayu dan Cina.

“Pelanggan Melayu biasanya membawa tepak sireh dan dulang hantaran, dan juga periuk serta kuali. Kebanyakan pelanggan ini dari Kedah, Perak dan Kelantan. Masyarakat Cina pula membawa patung dewa mereka seperti Guan Gong, Buddha dan Kuan Yin, tak seberat dan serumit barangan yang kami terima daripada masyarakat India,” katanya.

Beliau berkata barangan loyang dan logam masyarakat India biasanya berat dan unik, dan agak mencabar untuk melakukan proses menggilap serta memerlukan tahap ketelitian yang tinggi.

Antara barangan unik yang mereka pernah kendalikan ialah sebuah lampu minyak ‘velaku’ setinggi sekitar 3.7 meter dan patung 1.5 meter di samping patung gajah, singa dan harimau seberat 300 kilogram.

Ramai pelanggannya lebih suka menyimpan koleksi lama dan menjaga dengan baik barangan sentimental itu daripada membeli yang baharu.

“Barangan yang lama lain cara pembuatannya, lebih kukuh dan berat, jadi kami perlu berhati-hati agar ia tidak terjatuh atau pecah,” jelas Kanishen.

Pada awalnya, pihaknya menawarkan khidmat mengambil barangan loyang sahaja tetapi memandangkan permintaan yang meningkat, servis itu kini dihadkan kepada barangan yang lebih besar dan tempahan yang banyak sahaja.

Katanya, barangan yang dihantar para pelanggan kepada cawangan berhampiran, akan dikumpul dan diangkut ke Ipoh untuk digilap.

“Malahan untuk barangan yang mudah, penghantaran mengambil masa dua hingga empat minggu, bergantung kepada beban kerja yang ada. Senarai menunggu boleh mencapai 40 hingga 50 pelanggan semasa waktu tidak sibuk dan 120 hingga 150 pelanggan, pada waktu puncak,” katanya.

Kos menggilap adalah dari RM10 hingga RM40 untuk barangan kecil, seperti pemegang kayu setanggi dan sehingga RM3,000 untuk lampu minyak yang besar.

Menurut Kanishen, untuk mengekalkan barangan loyang kekal berkilat adalah lebih mencabar daripada membeli yang baharu, dan minyak atau krim yang tidak sesuai boleh menyebabkan tompokan.

Sejak sembilan tahun lalu, dia dan pasukan pekerjanya berusaha untuk memberikan perkhidmatan menggilap berkualiti tinggi dengan berhati-hati dalam memilih produk atau kaedah yang digunakan.

“Pada masa ini, kami berkolaborasi dengan pengilang ‘altar’ sembahyang terbesar di negara ini, Divine Heritage di Johor, menjual patung dan barangan sembahyang di samping menawarkan khidmat menggilap tiga dalam satu.

Kami sediakan barang yang siap digilap kepada pelangan, menawarkan satu khidmat menggilap tambahan secara percuma dan juga menyediakan pilihan kepada pelangan untuk mengubah warna barangan yang dibeli,” katanya.

Sebagai tambahan, produk baharu mereka, pemegang Thiri (pemegang sumbu lampu minyak), yang dilancarkan dua bulan lalu, semakin mendapat sambutan Deepavali tahun ini, dengan lebih 1,000 tempahan sebulan.

“Kami menerima kira-kira 30 hingga 40 tempahan sehari dari dalam Malaysia dan luar, termasuk Australia, Dubai, Amerika Syarikat dan United Kingdom, menerusi kedai dalam talian kami di Shopee Malaysia, Shopee Singapura, di samping laman e-dagang kami dan cleanstantestore.com,” katanya.

Menurut Kanishen, versi baharu pemegang Thiri holder, yang direka bentuk untuk melindungi lampu minyak daripada terbakar akibat sumbu lampu, akan dilancarkan tahun depan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )