DBKL; tutup sementara Taman Tasik Titiwangsa

DBKL; tutup sementara Taman Tasik Titiwangsa

KUALA LUMPUR,. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah menutup sementara Taman Tasik Titiwangsa di sini ekoran kehadiran ramai pengunjung sekali gus dikhuatiri boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, DBKL dalam kenyataannya berkata, aktiviti berjoging masih dibenarkan di luar kawasan taman atau di sekeliling taman rekreasi itu.

“Dimaklumkan bahawa Taman Tasik Titiwangsa ditutup sepenuhnya kepada awam bermula 28 Mei 2020 sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Ini adalah untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19 disebabkan kehadiran pengunjung yang ramai di taman ini,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, netizen menyifatkan tindakan DBKL itu adalah tepat memandangkan pengunjung ramai datang ke taman tersebut termasuk pada hari raya pertama Aidilfitri baru-baru ini.

Khairul Idzwan mendakwa, pada petang hari raya pertama keadaan di taman tersebut seperti pesta apabila terdapat konvoi kereta datang dan ramai yang membawa anak-anak kecil.

Asda Hull pula menyatakan, langkah itu merupakan tindakan proaktif DBKL.

Sementara itu, Bella Nabila menyatakan; “Eloklah tutup, sekali buka ramai yang datang sampai tidak ada parking pulak. Macam dah lupa pulak PKP, tidak ada disiplin langsung.”

Grace Ting yang bersetuju dengan tindakan DBKL itu menyatakan, segelintir rakyat negara ini tidak berdisiplin.

Taman Tasik Titiwangsa yang tampil dengan wajah baharu dibuka kepada orang ramai pada pertengahan Disember tahun lalu selepas setahun ditutup bagi kerja-kerja naik taraf dan pengindahan sejajar dengan projek River of Life (RoL). – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )