DBKL teruskan penguatkuasaan ke atas peniaga warga asing

DBKL teruskan penguatkuasaan ke atas peniaga warga asing

KUALA LUMPUR,. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan supaya meneruskan tindakan penguatkuasaan bagi mengekang kehadiran warga asing tanpa izin dan mereka yang bertindak mengambil alih pelbagai peluang peniagaan yang sepatutnya diisi oleh rakyat tempatan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, rakyat tempatan terutamanya golongan belia perlu menyahut untuk mengambil alih kerja-kerja yang ditinggalkan pekerja asing tersebut selepas tindakan dilakukan ke atas mereka.

“Sudah beribu pendatang asing tanpa izin dikenakan tindakan bersepadu. Saya tahu perkara ini tidak berapa disenangi tetapi pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Imigresen perlu teruskan usaha penguatkuasaan dan membetulkan keadaan.

“Ini sangat penting untuk letakkan pembangunan ibu kota di landasan yang betul,” katanya dalam sesi LIVE Facebook hari ini.

Annuar berkata, meskipun mungkin ada pihak menganggap kerja-kerja di pasar borong seperti tidak glamour, kotor dan berat, golongan belia termasuk dari luar Kuala Lumpur harus tampil mengambil alih.

Kata beliau, perkara itu akan dilakukan secara teratur dan dilaksana dengan gigih bagi memastikan ia berjaya.

Sementara itu, DBKL hari ini meneruskan lagi tindakan khas ke atas premis dikendalikan warga asing tanpa kebenaran di dua lokasi sekitar Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang di sini.

DBKL dalam kenyataannya berkata, tindakan penguatkuasaan termasuk dua notis penutupan premis serta-merta dan sita pelbagai barangan serta peralatan perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran sah dari DBKL telah dilaksanakan.

“Tindakan melibatkan sebuah kedai runcit dan sebuah premis aksesori telefon. Kedua-dua premis ini telah dikendalikan oleh warga asing dengan menggunakan premit pekerjaan yang berlainan sektor. Barangan yang telah disita dihantar ke Setor Sitaan DBKL untuk proses dokumentasi.

“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan mengikut peruntukan dan SOP DBKL di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Tindakan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )