DBKL sita 200 premis warga asing – Annuar

DBKL sita 200 premis warga asing – Annuar

KUALA LUMPUR,. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menjalankan operasi sita tehadap kira-kira 200 premis perniagaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan diambil berikutan masih ada PATI yang menjalankan perniagaan di sekitar pasar borong berkenaan.

“Ada (PATI berniaga di sekitar pasar borong) namun melalui penguatkuasaan, hampir 200 premis disita kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Sehingga kini memang ada lagi PATI di sekitar pasar borong menjalankan aktiviti tetapi di dalam (pasar borong) tiada. Saya sudah beritahu Datuk Bandar pastikan penguatkuasaan adalah konsisten,” katanya pada sidang akhbar selepas melepaskan gelandangan ke Program Latihan Khas di Pusat Transit Gelandangan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Annuar memberitahu bahawa pihaknya berusaha untuk memastikan majikan tidak mengambil PATI bekerja dengan memperkenalkan penggunaan mesin berteknologi tinggi ketika operasi di pasar boorong tersebut.

“Tetapi masih ada lagi tauke nak guna cara lama dan apabila kita nak memperkenalkan beberapa peralatan dan mesin, mereka teragak-agak namun kita mahu mereka menggunakan teknologi ini, ” katanya.

Dalam pada itu, Annuar turut menjelaskan bahawa DBKL bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan persatuan peniaga bagi mendapatkan kaedah terbaik dalam operasi perniagaan itu.

“Saya fikir itulah cara terbaik, kita boleh kembali duduk berbincang kerana SOP sedia ada ini mengambil keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Namun jika rasa SOP sedia ada ini ketat dan sukar, kita boleh bincang konsep berniaga di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )