DBKL siap siaga hadapi kemungkinan berlaku banjir kilat pada hari pengundian

DBKL siap siaga hadapi kemungkinan berlaku banjir kilat pada hari pengundian

KUALA LUMPUR,. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) siap siaga menghadapi kemungkinan berlaku banjir kilat pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata pihaknya telah menyediakan sebuah bilik gerakan di Menara DBKL 1 bagi memantau cuaca di ibu negara.

Beliau berkata pihaknya turut dibantu oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Sistem Pelbagai Bahaya yang diketuai oleh seorang profesor daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Agensi-agensi ini akan membantu dari segi membuat ramalan dan panduan mengenai keadaan cuaca seperti taburan hujan, kelebatan hujan serta kawasan yang berisiko banjir.

“Daripada data itu, kita akan membuat tindakan seterusnya seperti meletakkan beg pasir tambahan berhampiran sungai, bergantung kepada situasi.

“Kita sentiasa bersedia untuk menghadapinya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran penyewaan/menduduki Residensi Sungai Udang di Segambut semalam.

Mahadi berkata DBKL turut menjalin kerjasama dengan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam memantau sistem perparitan bagi memastikan ia berfungsi dengan baik serta tidak tersumbat.

“Kita juga mempunyai warden trafik yang bukan sekadar menjalankan tugas menyurai aliran trafik ataupun menguatkuasakan undang-undang tetapi juga melaksanakan sesuatu yang di luar jangkaan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )