DBKL pantau 50 ‘hotpsot’ kawasan kerap banjir kilat

DBKL pantau 50 ‘hotpsot’ kawasan kerap banjir kilat

KUALA LUMPUR,.(DBKL) telah mengaktifkan bilik kawalan bagi melakukan pemantauan secara berterusan di 50 kawasan hotspot yang kerap berlaku banjir kilat.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata, banjir kilat itu terjadi di atas beberapa faktor ekoran hujan lebat di satu-satu tempat dan ia akan surut dalam tempoh dua hingga tiga jam

“Kebiasaanya ia berpunca dari satu kawasan rendah dan aliran air terganggu kerana sampah sarap yang memenuhi saluran atau lubang di outlet

“Paling utama, bilangan paras air hujan yang turun melebihi kadar biasa iaitu kira-kira 80 mililiter hingga 90 mililiter berbanding sekitar 50 mililiter sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Wilayahku hari ini.

Menurut Khairul Azmir, faktor-faktor yang dinyatakan sebelum ini telah menarik perhatian DBKL dan telah menggerakkan bilik kawalan 24 jam serta mendapat kerjasama daripada semua pejabat cawangan DBKL bagi memantau keadaan ketika hujan bermula.

Kata Khairul Azmir lagi, banjir kilat juga boleh berlaku di sekitar kawasan projek-projek pembangunan termasuk di kawasan sekitar Tun Razak X-change (TRX) dan Sistem Aliran Massa (MRT).

“Walaubagaimanapun, pihak konsesi, kontraktor dan pemaju terbabit telah mengambil tanggungjawab untuk menjaga dan memastikan kawalan terhadap isu banjir kilat ini di peringkat masing-masing,” katanya.

Khairul Azmir berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat-kuasa, kerja-kerja penyelenggaraan tidak dapat dilaksanakan secara berterusan kerana tertakluk kepada arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kelulusan operasi untuk syarikat ini hanya boleh dikeluarkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sahaja.

“Namun untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan siap siaga (stand by), ia tetap dilaksanakan. Semasa dalam tempoh PKP, keutamaan diberikan kepada kerja-kerja kecemasan yang tidak dapat dielakkan seperti tanah runtuh dan bencana alam,” katanya.

Khairul Azmir memberitahu, DBKL telah melantik kira-kira 30 kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala termasuk membangunkan beberapa buah projek mitigasi banjir di sekitar Kuala Lumpur.

“Pihak DBKL turut mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu banjir di peringkat sungai-sungai kecil di bawah pengurusannya termasuk membangunkan projek mitigasi di Parlimen Segambut sebanyak dua buah projek iaitu membina kolam takungan banjir bawah tanah kapasiti 5,000 meter padu serta menaik taraf longkang di Segambut Bahagia yang telah siap pada Mac 2019 yang lalu.

“Selain itu, pihak DBKL turut membina kolam takungan banjir bawah tanah kapasiti 6000m3 di Taman SPPK yang telah siap pada Mac 2016,” katanya.

Kata Khairul Azmir lagi, tindakan terkini pihaknya adalah untuk melakukan kerja-kerja ‘desilting’ bagi mendalamkan Sungai Toba.

“Ia temasuk dalam perancangan DBKL untuk membangunakan projek bagi mempertingkat sistem saliran utama dan kerja- kerja pipe jacking (penyambungan paip) dan ia dijangka akan ditender pada September ini.

Dalam pada itu, Khairul Azmir berkata, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, pihak DBKL akan tetap menjalankan pemantauan secara berterusan di kawasan hotspot banjir kilat, pemantauan di tapak dan kerja-kerja bencana alam susulan daripada kekerapan hujan lebat di ibu kota. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )