
DBKL lelong barangan penyewa culas bayar tunggakan sewa
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan pelaksanaan lelongan awam terhadap barangan milik seorang penyewa yang gagal melunaskan tunggakan sewa premis milik Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil selepas penyewa terbabit didapati ingkar terhadap syarat perjanjian walaupun diberi tempoh munasabah untuk menyelesaikan tunggakan melalui rundingan.
“DBKL membuka ruang perbincangan dan fleksibel kepada penyewa yang menghadapi kesulitan, namun langkah tegas terpaksa diambil terhadap penyewa yang berterusan gagal mematuhi komitmen sewaan.
“Tindakan sitaan dan lelongan ini dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada bagi menjamin hak pemilikan Datuk Bandar serta memastikan pengurusan aset awam dilaksanakan secara bertanggungjawab,” katanya.
DBKL turut meminta semua penyewa premis miliknya supaya lebih cakna dan bertanggungjawab dalam memenuhi tanggungjawab kewangan masing-masing, selain menggalakkan penyelesaian secara rundingan sekiranya berlaku sebarang kesukaran.