Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan perhebat kesiapsiagaan hadapi bencana

Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan perhebat kesiapsiagaan hadapi bencana

KUALA LUMPUR,. Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan yang sedang dibangunkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dapat memperkasa pengurusan dan memperhebat kesiapsiagaan risiko bencana negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain menambah baik kefahaman tentang risiko bencana, dasar itu juga dapat meningkatkan pelaburan dalam inisiatif pengurangan risiko bencana dari aspek kapasiti sumber manusia, pemerkasaan institusi, perluasan langkah mitigasi dan aplikasi teknologi.

“Saya juga telah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Nadma bahawa satu daripada usaha yang telah dijalankan oleh pihak Nadma untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada orang awam mengenai risiko-risiko bencana yang terdapat di Malaysia, adalah melalui penerbitan dokumen Daftar Risiko Kebangsaan (NRR) untuk orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan webinar Risiko Bencana di Era Perubahan Iklim anjuran Nadma, hari ini.

Dokumen itu yang disediakan dengan kerjasama rakan strategik Nadma, Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRI-UKM), akan dilancarkan Perdana Menteri Khamis depan.

Ismail Sabri berkata NRR adalah usaha yang baik dalam menyedarkan Keluarga Malaysia tentang pengurusan bencana yang telah dilaksanakan di negara ini, jenis-jenis bencana sedia ada dan tindakan susulan yang boleh dijadikan rujukan.

Dokumen berkenaan juga boleh digunakan untuk tujuan kajian perancangan dan pemetaan, pemantauan, sistem ramalan awal, pencegahan, mitigasi dan strategi pengurangan risiko.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata strategi, pelan tindakan dan program pengurangan risiko bencana yang dibangunkan perlu mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana dalam semua sektor selain koheren dengan instrumen global antaranya Perjanjian Paris untuk mencapai aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Katanya, pendekatan sains dan teknologi juga adalah langkah penting dalam mengintegrasikan pengurangan risiko bencana dengan adaptasi perubahan iklim.

“Dalam mendepani risiko bencana, kesejahteraan Keluarga Malaysia merupakan prasyarat utama, kita menyasarkan rakyat yang sentiasa peka terhadap risiko bencana, mempunyai daya tahan dan berkebolehan dalam mengadaptasi keadaan bencana dalam era perubahan iklim ini,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )