Dasar Peluang Kedua: Penjawat awam bankrap diseru perbaiki kesihatan kewangan

Dasar Peluang Kedua: Penjawat awam bankrap diseru perbaiki kesihatan kewangan

KUALA LUMPUR,. Penjawat awam yang telah dilepaskan daripada senarai bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) menerusi Dasar Peluang Kedua disarankan agar memanfaatkan sepenuhnya peluang diberikan kerajaan dengan memperbaiki kesihatan kewangan masing-masing.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat berkata dasar itu adalah peluang keemasan buat penjawat awam yang mempunyai masalah keberhutangan yang tinggi untuk menyusun semula kewangan dan meningkatkan mutu hidup.

“CUEPACS sangat berharap semua pihak terutama penjawat awam telah diberi peluang kedua ini mengambil iktibar untuk membaiki diri supaya tidak lagi terjebak dalam masalah hutang yang akhirnya mengakibatkan mereka diisytiharkan bankrap semula.

“Dasar ini bukan sahaja sebagai suatu peluang keemasan kepada penjawat awam tetapi juga satu bentuk ihsan daripada kerajaan sendiri yang jelas mengambil kira dan peduli kekangan dihadapi penjawat awam,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Dasar Peluang Kedua merupakan satu inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk membela nasib rakyat yang bankrap dengan jumlah hutang berskala kecil dengan melepaskan mereka daripada kebankrapan melalui syarat-syarat tertentu, bermula 1 Mac 2023.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 tahun lepas berkata Dasar Peluang Kedua diperluaskan kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun ini.
Adnan berkata ketua-ketua perkhidmatan dan ketua Jabatan Integriti kementerian perlu memainkan peranan untuk memastikan penjawat awam tidak terjerumus dalam masalah hutang dan menjamin kebajikan mereka.

Beliau berkata ini kerana kes kebankrapan dalam perkhidmatan awam boleh menyebabkan berlaku salah laku integriti serta penurunan produktiviti, apabila penjawat awam tertekan dengan masalah kewangan yang dihadapi.

“Angka penjawat awam yang masih dalam status kebankrapan ketika ini adalah 3,265 daripada 1.62 juta penjawat awam,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata pihaknya berpuas hati dengan cadangan kadar pelarasan gaji penjawat awam yang dijangka dilaksanakan pada penghujung tahun ini.

“CUEPACS yakin bahawasanya hasrat untuk kumpulan terkebawah (penjawat awam bergred rendah) mendapat wang yang dibawa pulang sekurang-kurangnya melebihi RM2,000 tercapai dan ini akan memberi sedikit kelegaan kepada keperluan perbelanjaan mereka,” katanya.

Perdana Menteri pada 1 Mei lepas mengumumkan bahawa pelarasan gaji penjawat awam melibatkan kenaikan sekurang-kurangnya 13 peratus akan dilaksana pada penghujung tahun ini manakala pada 26 Jun lepas, beliau berkata perincian berhubung perkara itu akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025, pada Oktober ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )