Dasar Parti Akan Diteruskan Walaupun Kadangkala Menemui Kesukaran – Annuar Musa
KUALA LUMPUR, 11 Okt – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata segala dasar parti yang diputuskan akan terus dilaksanakan termasuklah arahan pucuk pimpinan yang antara lain telah digariskan sebelum ini.
Menurut beliau yang juga selaku Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN), selagi dasar-dasar berkenaan tidak diubah maka ianya akan terus dilaksanakan walaupun kadang-kadang menemui kesukaran.
‘’Sebagai SUA BN dan MN tugas saya adalah melaksanakan dasar parti dan arahan pucuk pimpinan. Setakat ini parti putuskan antara lain, 10 dasar-dasar berikut. Penyertaan BN menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara en bloc, Ahli -Ahli Parlimen BN menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mengambil pendirian No Dap, No Anwar Ibrahim dan No Tun Mahathir.
‘’Seterusnya MN menjemput PPBM sertai Muafakat Nasional dan PPBM bersetuju, seterusnya BN, PAS dan PPBM perlu bermuafakat dan elakkan pertandingan 3 penjuru pada PRU ke 15, BN, PAS dan PPBM telah bentuk jawatankuasa lima orang dari setiap parti untuk berunding mengenai pengagihan kerusi. Rundingan telah pun bermula,’’ katanya.
Katanya lagi dasar seterusnya adalah BN akan bertanding atas logo sendiri selain bahawa parti itu juga bersetuju bentuk GRS di Sabah bersama PN dan PBS untuk menghadapi Warisan Plus dan PH.
‘’SUA diarah sentiasa berhubung dan menjalinkan kerjasama antara parti-parti komponen dan parti sahabat dan seterusnya sentiasa mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal MN.
‘’Selagi dasar ini tidak di ubah Insyaallah kita terus menerus melaksanakannya walaupun kadang kadang menemui kesukaran. Memutuskan dasar tidak mudah. Melaksanakan dasar mungkin lebih payah lagi,’’ ujarnya.
– UMNO Online