Dasar Mineral Negara akan dibangunkan dalam tempoh tiga bulan
PUTRAJAYA,. Kerajaan akan membangunkan Dasar Mineral Negara dalam tempoh tiga bulan mulai hari ini, bersesuaian dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan ketika ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata dasar ini bertujuan menguruskan mineral negara secara bertanggungjawab, mengimbangi antara keperluan sektor ekonomi dan pendapatan negara serta memastikan kemampanan alam sekitar terpelihara.
“Potensi mineral untuk menyumbang kepada pendapatan negara agak besar, dengan nilai rizab mineral yang kita ada ketika ini lebih kurang RM4 trilion.
“Oleh itu, usaha yang diambil dalam membangunkan sumber mineral perlu dibuat dengan teratur, tersusun supaya keperluan ekonomi itu tidak menjejaskan kesejahteraan sosial rakyat termasuk alam sekitar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara Kedua (MMN2) di sini, pada Isnin.
— BERNAMA