Daging lembu segar sempena Aidiladha dijual

Daging lembu segar sempena Aidiladha dijual

KUALA LUMPUR,. Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba tidak lama lagi, penduduk Bandar Tun Razak dan lokasi berhampirannya boleh mendapatkan daging lembu segar yang dijual di tepi jalan Bandar Tasek Selatan pada setiap Sabtu.

Perniagaan yang bermula sejak tiga minggu lalu itu dijalankan sekumpulan pemuda berumur antara 25 hingga 40 tahun yang diketuai Anuar Salehudin.

Menurut Anuar, dia menjalankan perniagaan tersebut sejurus selepas
kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bagi membolehkan ekonomi negara dan rakyat pulih semula.

Ujarnya, sebelum ini, dia bersama rakan menjalankan perniagaan
percetakan namun ia semakin merosot sejak wabak Covid-19 melanda.

“Bisnes percetakan kurang sedikit, tidak macam dulu. Oleh itu, saya dan rakan kena ambil tindakan drastik dengan membuat jualan gerai tepi jalan bagi meningkatkan semula pendapatan.

“Kami memilih untuk berniaga daging lembu segar kerana bahan ini
kurang di pasaran dan kebanyakan daging yang dijual adalah jenis sejuk
beku,” jelasnya ketika dihubungi Wilayahku.

Anuar memberitahu, daging lembu segar yang dijualnya diperoleh dari
ladang ternakan di Klang, Selangor dan siap dilapah sebelum dibawa untuk jualan setiap pagi Sabtu.

Ujarnya, harga jualan bermula RM15 per kilogram sehingga RM120 yang mana harga paling mahal adalah bagi kepala lembu.

Katanya, orang ramai yang berminat untuk mendapatkan daging segar tersebut boleh membuat tempahan sebelum pukul 6 petang, Jumaat di talian 018-9094707 dan boleh mengambilnya pada hari Sabtu.

“Jualan bermula pukul 6.30 pagi sehingga 10 pagi setiap Sabtu. Tetapi
pada minggu Raya Aidiladha mungkin perniagaan tidak dijalankan kerana ia bergantung kepada bekalan,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )