Cukai Makmur pengaruhi penurunan pendapatan Petronas Gas setahun lebih awal
KUALA LUMPUR,. Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan pelaksanaan Cukai Makmur dalam tahun kewangan 2022 akan memberi kesan terhadap penurunan pendapatan Petronas Gas Bhd setahun lebih awal.
Sehubungan itu, ia mengunjurkan pendapatan Petronas Gas bagi tahun kewangan 2022 itu susut sebanyak 11 peratus berikutan impak cukai sekali tersebut.
Dalam nota tinjauannya hari ini, Maybank IB berkata impak itu dijangka ketara memandangkan segmen pemprosesan, pengangkutan serta utiliti diletakkan di bawah satu entiti tunggal.
Selain itu, berdasarkan jadual yang ditetapkan, kemungkinan pengurangan tarif pengangkutan dijangkakan paling ketara dalam tempoh pengawalseliaan seterusnya bermula 2023.
“Setakat ini, kami menjangkakan penurunan tarif sebanyak 20 peratus dalam tahun kewangan 2023,” katanya.
Segmen pengangkutan Petronas Gas adalah mengikut Rangka Kerja Asas Aset Terkawal Selia (RAB) yang digunakan bagi penetapan tarif berdasarkan susut nilai purata wajaran nilai penggantian dan kos sebelum ini.
“Pihak pengurusan syarikat itu juga turut melaksanakan tinjauan bagi mengenal pasti projek-projek baharu untuk mengurangkan jangkaan penurunan tersebut.
“Ini termasuk langkah mengurangkan kesesakan di (kemudahan kawasan) selatan yang dijadual selesai pada pertengahan 2022,” katanya yang menambah bahawa Petronas Gas juga berminat mewujudkan kemudahan penyimpanan gas asli cecair (LNG) ketiga di Pengerang, Johor dengan jangkaan pengoperasian seawal 2025.
Usaha menjana pertumbuhan lain yang sedang dilaksanakan termasuk penyelesaian kemudahan utiliti bersepadu di taman-taman perindustrian, penjanaan elektrik dan penjanaan LNG-kepada-tenaga.
Sehubungan itu, Maybank IB mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas saham Petronas Gas dengan harga sasaran tidak berubah pada RM17.20.
— Bernama