COVID-19: Sisa buangan klinikal meningkat 111.94 peratus

COVID-19: Sisa buangan klinikal meningkat 111.94 peratus

KUALA LUMPUR,. Sisa buangan klinikal seperti bahan plastik pakai buang, sarung tangan getah dan gaun isolasi yang digunakan petugas barisan hadapan di semua fasiliti kesihatan setakat ini meningkat sebanyak 111.94 peratus berbanding pada Disember 2019 sebelum COVID-19 berlaku.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad berkata sisa buangan klinikal akan terus meningkat sehingga 173.25 tan metrik sebulan dalam tempoh 12 bulan akan datang sekiranya pandemik itu berterusan.

“Hal ini boleh dianggap sebagai suatu angka signifikan yang boleh mengancam kehijauan bumi dan menggugat kelestarian alam sekiranya tidak berjaya diuruskan dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan telah mengambil langkah-langkah bagi mengatasi kekangan kecekapan pelupusan itu namun masih lagi mempunyai tangguhan sisa buangan klinikal.

Ahmad Masrizal berkata setakat ini sebanyak 12 insinerator, empat microwave dan satu ozonator telah dilesenkan di seluruh negara untuk menguruskan buangan terjadual SW 404 berkenaan dengan kapasiti keseluruhan 5,168.05 tan metrik dan nilai itu masih mampu menampung penjanaan sisa klinikal semasa iaitu 4,394.37 tan metrik.

Katanya, KASA juga mengalu-alukan mana-mana fasiliti kesihatan swasta yang berhasrat untuk menguruskan sisa klinikal di Malaysia untuk berhubung dengan pihak kementerian atau JAS.

Sehingga kini, beliau berkata waktu operasi dan kapasiti pelupusan di loji pelupusan bahan klinikal turut dilanjutkan dan dipertingkat bagi memastikan peningkatan jumlah sisa klinikal dapat dilupuskan dengan segera.

Katanya, KASA juga menyedari peningkatan sisa bahan buangan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang kawasan itu memerlukan pengurusan sisa buangan lebih rapi dan tersusun bagi mengelakkan jangkitan sekunder kepada pekerja yang menguruskannya.

Ahmad Masrizal berkata sisa klinikal akan terus meningkat sekiranya lebih ramai rakyat dijangkiti COVID-19, justeru beliau menyeru masyarakat untuk duduk di rumah bagi mengelakkan lengkuk jangkitan daripada terus meningkat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )