Covid-19: Sabah Agih 150 Tan Keperluan Makanan

Covid-19: Sabah Agih 150 Tan Keperluan Makanan

KOTA KINABALU,. Umno Sabah mula mengagihkan bantuan berupa keperluan harian lebih 150 tan selain penutup mulut dan hidung serta cecair pembersih tangan kepada 12,500 keluarga terpilih yang disahkan memerlukan bantuan segera di negeri ini melalui 25 ketua bahagian Umno.

Ketuanya Dato’ Sri Bung Moktar Radin berkata bantuan tersebut bagi meringankan beban mereka yang terkesan terutamanya golongan yang berpendapatan rendah dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mencegah penularan pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia.

Bung berkata agihan berkenaan bermula pada Rabu di mana setiap bahagian dianggarkan menerima 8 sehingga 9 tan bantuan berkenaan. Buat permulaan, penghantaran akan bermula dengan tujuh bahagian iaitu Tawau, Kalabakan, Semporna, Silam, Sandakan, Beluran dan Batu Sapi.

“Saya telah mengarahkan kepada bahagian-bahagian UMNO di negeri ini agar agihan sumbangan ini diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa batasan parti,agama dan kaum,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan agihan bantuan kepada ketua-ketua bahagian di Kota Kinabalu Indsutrial Park (KKIP), Sepanggar.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Yakub Khan, ahli majlis tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan,dan Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah Datuk Khadzim Yahya .

Dalam perkembangan lain Bung berkata sebelum ini sayap-sayap UMNO Sabah telah pun bergerak menyampaikan bantuan sama ada makanan mahupun keperluan Personal Protective Equipment (PPE) kepada para petugas barisan hadapan seperti anggota keselamatan dan bahagian kesihatan.

Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Ummo turut menzahirkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang turut menghulurkan pakej bantuan demi bantuan kepada rakyat di negeri ini.

“Ucapan terima kasih juga kepada wakil rakyat Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman yang telah mengambil inisiatif sama untuk membantu rakyat negeri ini dengan suntikan dana sejuta ringgit untuk keperluan tersebut secara holistik,” tambah beliau.

Dalam perkembangan yang sama Bung juga meminta agar setiap bahagian jentera dan mereka yang bertugas dalam pengagihan tersebut agar berhati-hati dan memastikan keselamatan diri sendiri tidak terabai semasa bertugas dan menghubungi pihak penyelaras dari daerah masing-masing bagi memudahkan penyelarasan tugasan agihan.

Sementara itu, sempena dengan sambutan Ulang Tahun Ke-74 RTM, Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga RTM yang telah memainkan peranan dalam menyampaikan berita-berita sahih kepada rakyat di negara ini.

Beliau berharap RTM akan terus unggul sebagai platfom penyampai berita perdana yang sahih dan paling dipercayai di negara ini.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )