COVID-19: PKP Kelonggaran Fasa 3 bakal cetus kluster baharu?

KUALA LUMPUR,. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa ketiga kurang dari 48 jam lagi, bakal menyaksikan sektor perkhidmatan tertentu boleh beroperasi semula secara berperingkat.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan PKP fasa ketiga bermula 15 hingga 28 April ini, berkata beberapa sektor perkhidmatan akan dibenarkan operasi selepas ini.

Susulan pengumuman Perdana Menteri itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan operasi antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Namun, pengumuman itu menimbulkan perbincangan hangat dalam media sosial ekoran kebimbangan orang ramai mengenai kemungkinan wujud kluster baharu jangkitan COVID-19, terutamanya dari kedai gunting rambut di Malaysia.

Pengguna media sosial turut berkongsi berita mengenai seorang tukang gunting rambut di Amerika Syarikat yang meninggal dunia kerana dijangkiti COVID-19, serta kes kluster di Fukuoka, Jepun yang berpunca daripada sebuah salun dandanan rambut.

Menyedari kegusaran rakyat terhadap perkara itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata operasi kedai gunting rambut dan salun dandanan rambut semasa PKP fasa ketiga, adalah tertakluk kepada kelulusan permohonan dan dicadang di kawasan zon hijau sahaja.

Ismail Sabri berkata, MITI akan meneliti dahulu permohonan daripada sektor perkhidmatan terbabit sebelum ia dibenarkan beroperasi.

Sabtu lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan agar kedai gunting rambut serta beberapa sektor yang dibenarkan beroperasi semula semasa PKP fasa ketiga, ditangguhkan buat sementara.

Beberapa kerajaan negeri juga mengeluarkan kenyataan mengenai status operasi kedai gunting rambut, antaranya kerajaan Negeri Sembilan meminta KKM mengeluarkan garis panduan memandangkan perkhidmatan itu menjalankan urus niaga secara terus dengan pelanggan.

Kerajaan Pulau Pinang pula memutuskan untuk tidak membenarkan premis gunting rambut dibuka atau beroperasi di negeri itu sepanjang PKP dilaksanakan.

Malah, beberapa persatuan gunting rambut juga turut menyeru supaya kerajaan pusat mengikut jejak langkah Pulau Pinang.

Berdasarkan undian umum oleh Bernama TV pada Sabtu (11 April), sama ada setuju atau tidak kedai gunting rambut dibuka sepanjang PKP, hampir 88 peratus daripada 16,500 undi tidak bersetuju manakala selebihnya iaitu 12 peratus bersetuju.

Memetik kata-kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, beliau menyifatkan usaha KKM dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 dan menurunkan kes itu sepenuhnya kini, umpama berada dalam ‘10 meter terakhir dalam larian maraton’.

Kebimbangan pelbagai pihak itu sudah tentu ada asasnya kerana tidak mahu ada kluster atau subkluster baharu wujud semasa tempoh PKP fasa ketiga itu. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )