Covid-19: Pertama Bantuan Pernafasan Kecemasan Dihasilkan

Covid-19: Pertama Bantuan Pernafasan Kecemasan Dihasilkan

PUTRAJAYA,. Kementerian Kesihatan menghasilkan prototaip pertama ventilator berteknologi Advanced Medical 3D Printing sebagai kaedah alternatif untuk menyokong keperluan asas bantuan pernafasan kecemasan bagi pesakit Covid-19.

Alatan perubatan itu merupakan kolaborasi strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, prototaip tersebut adalah ilham daripada Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan yang bertanggungjawab dalam inovasi teknologi untuk perubatan mengikut kesesuaian, khususnya penggunaan jangka masa pendek dan berkesan.

“Prototaip ini akan sentiasa dibuat penambahbaikan dan akan dijalankan pengujian sepenuhnya bersama Jabatan Standard Malaysia (SIRIM) agar dapat berfungsi untuk menyokong keperluan asas bantuan pernafasan pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Taklimat Media: Kolaborasi Strategik Inovasi Kejuruteraan Kesihatan sebentar tadi.

Dalam pada itu, Dr. Adham berkata, Unit Penyelidikan Kejuruteraan Biomedikal dan Fasiliti Kesihatan yang beroperasi di National Institute of Health (NIH) di Setia Alam, Shah Alam, Selangor diwujudkan untuk melaksanakan penyelidikan dan memberi khidmat nasihat teknikal berkaitan Kejuruteraan Biomedikal dan Fasiliti Kesihatan.

Jelas beliau, keahlian dalam unit itu adalah terdiri daripada gabungan pakar kejuruteraan biomedikal dan fasiliti kesihatan serta pelbagai disiplin perubatan dan kesihatan di dalam KKM.

“Ia juga akan menyaksikan penglibatan pintar universiti tempatan dan luar negara, agensi kerajaan lain saperti SIRIM, Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) dan juga pihak industri,” jelasnya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )