COVID-19: Penghadang lutsinar di Mahkamah Lembah Klang mulai 1 April
KUALA LUMPUR,. Mahkamah di Lembah Klang akan dilengkapi dengan penghadang lutsinar secara berperingkat mulai 1 April dalam usaha mencegah penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan mereka yang hadir ke mahkamah.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) Putrajaya ketika dihubungi Bernama berkata, penghadang lutsinar berkenaan akan dipasang di meja peguam, tempat saksi, kandang tertuduh dalam bilik perbicaraan mahkamah dan bilik reman.
Menurut PKPMP, badan kehakiman telah memulakan projek rintis bagi pemasangan penghadang lutsinar tersebut di Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang bermula awal bulan ini.
“Inisiatif pemasangan penghadang adalah selaras dengan usaha badan kehakiman untuk mencegah penularan COVID-19 di premis mahkamah dan memastikan perkhidmatan dan penyampaian keadilan dapat berjalan dengan selamat, teratur dan lancar,” katanya.
Pengurusan tertinggi badan kehakiman telah bersetuju memperluaskan pemasangan penghadang di mahkamah-mahkamah di Lembah Klang susulan projek rintis di Mahkamah Sepang, jelasnya.
Ketika dihubungi, peguam Zaflee Pakwanteh, 51, yang berada di Mahkamah Majistret Sepang pada Isnin bagi sebutan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya memuji langkah pemasagan penghadang lutsinar di mahkamah itu.
“Saya sangat bersetuju dengan pemasangan penghadang itu terutama di kandang pesalah. Itu yang paling penting bagi menjaga keselamatan jurubahasa mahkamah dan peguam yang perlu berdepan dengan orang kena tuduh.
“Sebelum ini saya memakai pelindung muka ketika berurusan di mahkamah,” kata peguam itu yang berpengalaman 25 tahun dan mengendalikan kes di Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang sejak 2009.
Sementara itu, peguam Datuk Sheelan Arjunan, 44, yang berada di Mahkamah Majistret Sepang pada 8 Februari lepas untuk sebutan kes seorang artis India tempatan dikenali sebagai VJ Emergency yang didakwa membunuh, berkata penghadang itu telah dipasang di mahkamah berkenaan semasa prosiding anak guamnya.
“Mahkamah Sepang telah mengambil tindakan pencegahan tambahan dalam memastikan keselamatan bukan hanya kakitangan mahkamah tetapi juga pe-guam dan orang ramai.
“Kami (peguam) dapat menjalankan kes kami de-ngan tenang kerana me-ngetahui keadaan sekeliling kami terjamin dan dilin-dungi daripada wabak ini,” kata peguam itu yang berpengalaman 18 tahun dan banyak mengendalikan kes jenayah.
Menurut prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik COVID-19 yang dikeluarkan oleh PKPMP, liputan media tidak dibenarkan dalam prosiding mahkamah terbuka kecuali bagi kes-kes yang melibatkan kepentingan umum, namun mahkamah boleh mempertimbangkan untuk menyediakan ruang untuk siaran langsung atau menyediakan kemudahan liputan media melalui aplikasi dalam talian.
— Bernama