COVID-19: Pelitup muka perisai penting

COVID-19: Pelitup muka perisai penting

KUALA LUMPUR,. Percaya atau tidak, kini pelitup separuh muka, yang biasanya hanya dipakai sewaktu musim jerebu di negara ini, kini sudah dikategorikan sebagai ‘perisai’ paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan, COVID-19 selain daripada memastikan penjarakan sosial.

Pemakaiannya dikatakan sebagai kaedah pencegahan penting mengelakkan penyebaran 60 peratus penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus, termasuk COVID-19.

Selaras dengan itu, mulai 1 Ogos ini, pelitup separuh muka wajib dipakai di dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum, dengan orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), sekiranya gagal berbuat demikian.

Ini kerana walaupun Malaysia diiktiraf sebagai antara negara yang berjaya dalam menangani COVID-19, namun nampaknya rakyat bersikap sambil lewa dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, bagi membendung penularan wabak itu.

Peraturan baharu itu menimbulkan reaksi pelbagai pihak, pakar kesihatan dan orang awam yang bersetuju dengan langkah itu, menyifatkannya sebagai amat tepat bagi memastikan disiplin dan pematuhan orang ramai, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata pemakaian pelitup separuh muka seharusnya sudah lama diwajibkan di kawasan sesak dan padat.

“Bila pakai pelitup separuh muka ini, secara tidak langsung kita menghalang tangan daripada menyentuh kawasan pada anggota badan, yang boleh menyebabkan kemasukan virus ke dalam badan kita,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Farmasi Malaysia menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dalam membeli pelitup muka fabrik atau tiga lapis, yang banyak dijual dalam talian.

Pengerusinya, Amrahi Buang, berkata masyarakat perlu tahu jenis pelitup muka dan kegunaannya.

“Pada saya masyarakat kena tahulah, jangan main pakai saja tapi benda itu tidak mendatangkan kesan perlindungan, atau pencegahan.

“Kalau beli dalam talian siapa nak bertanggungjawab jika terjadi apa-apa. Bagaimana mahu tahu sumber pelitup muka itu dari mana pembuatannya. Sebab kita mahukan yang pertama berkualiti yang kedua, selamat digunakan dan ketiga ia berfungsi,” katanya.

Pada masa sama, di sebalik sambutan positif pelbagai pihak atas peraturan baharu itu, timbul juga keluhan mengenai harga pelitup separuh muka yang dikatakan agak mahal, susulan terdapat peniaga yang menaikkan harga sesuka hati selain penjualan tiruan.

Malahan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), melalui pemeriksaan ke atas 43,402 premis di seluruh negara mulai 29 Januari sehingga hari ini, telah mengeluarkan sebanyak RM392,400 kompaun atas pelbagai kesalahan seperti menjual pelitup separuh muka melebihi harga maksimum.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata turut dikesan banyak kes penjualan pelitup muka tiruan, dengan modus operandinya membeli pelitup separuh muka tanpa jenama daripada China dan membuat pembungkusan semula.

Bagaimanapun, KPDNHEP dilihat mengambil langkah bijak dengan membuat keputusan mengurangkan harga siling pelitup separuh muka kepada RM1.20 seunit daripada RM1.50, dan harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga akan diturunkan kepada RM1.15 bermula 15 Ogos, seperti diumumkan Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini.

Kerajaan katanya, akan terus mengkaji keperluan untuk menurunkan harga pelitup separuh muka dan memastikan bekalan mencukupi. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )