COVID-19: Pasukan petugas khas polis Sabah pantau berita palsu

COVID-19: Pasukan petugas khas polis Sabah pantau berita palsu

KOTA KINABALU,. Polis Sabah telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi memantau penularan berita-berita palsu berhubung COVID-19 di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, langkah tersebut diambil baru-baru ini dalam usaha pihaknya mengekang penyebaran maklumat palsu.

“Kita ada pasukan petugas khas kita untuk memantau apa yang dikategorikan sebagai fake news ini, supaya jangan menimbulkan kekecohan atau kerisauan kepada orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri operasi sekatan jalan raya di laluan Putatan-Kota Kinabalu, Putatan, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim.

Mengulas lanjut, Mazli berkata, bagaimanapun setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung isu berita palsu COVID-19 di Sabah.

Sementara itu, hasil tinjauan semasa sekatan jalan raya bermula jam 9 malam tadi menyaksikan ratusan pemandu kenderaan masih berlegar di laluan Putatan menuju ke Kota Kinabalu meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan masuk hari kedua semalam.

Mazli menyifatkan senario berkenaan sebagai amat mengecewakan apabila kesedaran orang ramai masih begitu rendah mengenai pelaksanaan perintah tersebut.

“Apa yang kita lihat di sini adalah kesedaran terhadap penyakit ini di kalangan orang awam amat rendah sekali. Mereka seakan-akan tidak mempeduli tentang bahayanya penyakit koronavirus ini.

“Jadi, kita akan melipatgandakan usaha lagi untuk memastikan banyak operasi sebegini bagi memastikan orang ramai mempunyai kesedaran. Kita akan terus menasihatkan mereka,” katanya.

Jelas beliau lagi, rata-rata pengguna jalan raya ketika ditemui memberikan alasan mempunyai urusan di pusat bandar, kerja shif malam dan juga terpaksa bergegas ke hospital.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )