COVID-19: NGO perlu aktif beri cadangan positif kepada kerajaan negeri

COVID-19: NGO perlu aktif beri cadangan positif kepada kerajaan negeri

MELAKA,. Badan bukan kerajaan (NGO) di Melaka perlu aktif membantu kerajaan negeri dengan memberi cadangan atau pandangan positif dalam apa juga aspek atau isu, bukan hanya mengkritik khususnya berkenaan situasi COVID-19.

Pengerusi NGO Antarabangsa Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata pendekatan itu bukan sahaja membantu kerajaan negeri menambah baik sistem atau dasar sedia ada tetapi juga untuk manfaat negeri dan rakyat.

“Salah satu cadangan yang boleh diberi fokus ialah menghidupkan semua tarikan pelancongan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti atau program bertaraf antarabangsa untuk menarik kedatangan pelancong tempatan dan juga antarabangsa.

“Pertandingan berpidato bahasa Melayu antarabangsa juga boleh dipertimbangkan kerana ia merupakan program yang menarik dan mempunyai kelainan tertentu yang boleh menarik pelancong,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata perkara tersebut dikemukakan ketika membuat kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kunjungan hormat itu, Mustapha berkata perbincangan berfokus pada isu global dan serantau melibatkan ekonomi dan COVID-19.

“Banyak industri terjejas seperti pelancongan, perhotelan, hartanah dan industri lain yang saling berkait terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 dan sesuatu (yang) baharu perlu dilakukan menerusi pelan pemulihan baharu ekonomi,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )