COVID-19 mungkin jadi endemik, perlukan pendekatan berbeza

COVID-19 mungkin jadi endemik, perlukan pendekatan berbeza

KUALA LUMPUR,. Seperti yang dinyatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), COVID-19 berkemungkinan besar menjadi pendemik, justeru pendekatan berbeza diperlukan untuk menanganinya, kata Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Beliau berkata hal ini diperlukan sekalipun negara berjaya menurunkan bilangan kes harian serta mencapai imuniti kelompok.

“Seperti denggi, kita terus mengambil langkah pencegahan dari segi kebersihan diri. Mungkin kita perlu meneruskan amalan pemakaian pelitup muka di tempat sesak dan amalan ini agak meluas di banyak negara di Asia Timur seperti Jepun dan China,” katanya dalam program Mid-Day Update yang disiarkan Bernama TV semalam.

Dr Jemilah berkata suntikan vaksin bermusim juga mungkin diperlukan untuk mengawal COVID-19 seperti yang dilakukan di Eropah bagi mengekang flu atau demam selesema bermusim.

Mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata pelan itu mengetengahkan petunjuk dan sasaran yang perlu dicapai oleh Malaysia untuk mengawal pandemik tersebut.

Beliau berkata PPN merupakan pelan hala tuju negara untuk keluar daripada krisis kesihatan akibat pandemik COVID-19.

“Setiap pelan pemulihan bergantung pada beberapa faktor, Dalam kes ini pemacu utama ialah petunjuk kesihatan awam, kapasiti sistem kesihatan untuk menampung serta kadar vaksinasi kita kerana kita tidak boleh berterusan berada di bawah sekatan pergerakan penuh sedangkan ekonomi perlu dihidupkan semula dan berkembang,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Jemilah berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan amat penting kepada kejayaan PPN kerana kedua-duanya bergerak seiring bagi mencapai imuniti kelompok menerusi pemvaksinan ke atas 70 hingga 80 peratus penduduk negara.

Pada 15 Jun lepas, Muhyiddin mengumumkkan PPN, satu strategi untuk mengeluarkan negara daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik COVID-19 menerusi empat fasa.

Dr Jemilah juga bersetuju dengan pandangan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin bahawa WHO patut meminta semua negara mengiktiraf semua jenis vaksin COVID-19 yang disenaraikan oleh pertubuhan itu.

“Jika WHO telah iktiraf, maka ia harus diiktiraf oleh semua negara lain di dunia ini. Kita tidak boleh terperangkap dalam geopolitik vaksin, kita perlu pastikan semua orang dilindungi,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)