COVID-19: Lapan Pakar perubatan dari China bantu kesan jenis virus

COVID-19: Lapan Pakar perubatan dari China bantu kesan jenis virus

PUTRAJAYA,. Pasukan pakar perubatan dari China yang tiba pagi tadi akan membantu mengesan jenis Covid-19 selain berkongsi kajian berhubung wabak tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perbincangan telah dilakukan dan pelbagai isu dilihat mengikut kepakaran yang ada pada pasukan terbabit.

“Kepakaran yang ada pada mereka boleh dikongsikan dan kita akan melakukan beberapa kajian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, pasukan pakar perubatan yang dihantar kerajaan China bagi membantu Malaysia dalam menangani wabak Covid-19 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi ini.

Ketibaan mereka disambut Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian dan wakil Kementerian Kesihatan (KKM).

Mereka terdiri daripada Naib Presiden bagi Perubatan Tradisional Hospital Guangdong, Dr. Li Jun; Penolong Ketua Pakar Perubatan Unit Rawatan Rapi (ICU), Dr. Wen Miaoyun; Pengarah Kawalan Jangkitan Nosocomial Hospital Guangdong, Dr. Zhang Youping dan Ketua Pakar Perubatan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Guangdong, Dr. Liu Tao.

Selain itu ialah Penolong Ketua Juruteknik Virologi, Institut Kesihatan Awam Guangdong, Dr. Sun Jiufeng; Penolong Ketua Pakar Perubatan Jabatan Respiratori dan Perubatan Kritikal, Dr. Yang Shifang; Penolong Pakar Perubatan Jabatan Jangkitan Hospital Guangdong dan Psikologis Kanan Hospital Guangdong, Dr. Liu Xiangxin.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, hasil ujian terhadap sampel Covid-19 yang diambil dari gelombang satu dan dua adalah jenis strain B.

“Jangkitan Covid-19 mempunyai tiga strain sama ada A, B atau C. Hasil sampel daripada gelombang pertama menunjukkan strain B dan begitu juga daripada gelombang kedua.

“Oleh demikian, kita mungkin akan membuat lebih banyak pengasingan sampel virus untuk dibuat kajian,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )