COVID-19: Kes baharu menurun ke 3,455 kes semalam – Dr Noor Hisham

COVID-19: Kes baharu menurun ke 3,455 kes semalam – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR,. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baharu COVID-19 mencatatkan penurunan kepada 3,455 kes hari ini daripada 4,214 kes semalam.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, lima merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,450 kes.

Selangor terus merekodkan jumlah kes baharu harian tertinggi iaitu 1,145 diikuti Johor (708 kes) dan Kuala Lumpur (619), menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini,.

Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 pula meningkat kepada 222,628 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 47,847.

Sebanyak 21 kes kematian COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan kes kematian tertinggi direkodkan bagi tempoh 24 jam setakat ini.

Jumlah kumulatif kes kematian melibatkan COVID-19 kini 791 kes, dengan kes yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula mencecah 327 dengan 145 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata daripada 21 kes kematian hari ini, 12 daripadanya dicatatkan di Selangor, empat kes di Sabah, masing-masing dua kes di Johor dan Kuala Lumpur dan satu kes di Kedah.

Menurutnya 3,661 kes sembuh dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pulih kini 173,990 kes.

Beliau berkata 77 kes (2.2 peratus kes baharu) yang dilaporkan hari ini melibatkan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara iaitu Kluster Tembok Taiping dengan 21 kes; Kluster Tembok Renggam (17); Kluster Tembok Sungai Udang (15); Kluster Tembok Bukit Besi (10); Kluster Penjara Jalan Harapan (9); Kluster Penjara Seberang Perai (tiga), dan Kluster Tembok Mempaga (dua).

Sementara itu, beliau berkata tujuh kluster baharu dikesan dengan enam daripadanya merupakan kluster di tempat kerja dan satu melibatkan komuniti.

Kluster tempat kerja iaitu Jalan Ragum dan Bukit Rahman di Selangor; Parit Jamil Darat (Johor); Tapak Bina Jalan Cheras (Kuala Lumpur), Taman Muhibbah (Pahang) dan Industri Serkam (Melaka), manakala Semarak Bersia di Perak merupakan kluster komuniti.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kluster aktif kini sebanyak 404 dengan 70 daripadanya mencatatkan pertambahan kes baharu.

Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Jalan Cheras (332 kes), Kluster Jalan Ragum (210 kes), dan Kluster Jalan Seroja (204 kes).

“Jumlah kumulatif kluster yang tamat kini 434 kluster termasuk empat kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Bukit Angkat, Kluster Tapak Bina Bukit Semenyih, Kluster Tapak Bina Kiara dan Kluster Brumas,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )