COVID-19: Kes baharu 22,948, tertinggi setakat ini

COVID-19: Kes baharu 22,948, tertinggi setakat ini

KUALA LUMPUR,. Malaysia hari ini merekodkan 22,948 kes baharu COVID-19, angka harian tertinggi sejak pandemik itu melanda negara.

Menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di laman Twitternya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 1,489,460.

Beliau berkata Selangor terus menjadi negeri yang mencatat kes tertinggi berjumlah 7,175 diikuti Sabah (2,583), Kedah (2,137), Pulau Pinang (1,655), Johor (1,526), dan Kuala Lumpur (1,439).

Sebanyak 1,271 kes pula direkodkan di Kelantan diikuti Perak (1,229), Sarawak (1,206), Melaka (737), Pahang (736), Terengganu (621), Negeri Sembilan (556), Perlis (42), Putrajaya (26), dan Labuan (9).

Semalam, Malaysia merekodkan 22,242 kes baharu wabak itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataan hari ini memaklumkan daripada 22,948 kes harian yang dilaporkan, 457 kes (dua peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima, manakala baki 22,491 kes (98 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

Katanya secara keseluruhan, 17,981 kes (78.4 peratus) daripada jumlah kes hari ini tiada atau tidak lengkap divaksinasi COVID-19.

Dalam kenyataan itu, beliau turut memaklumkan kes sembuh mencatatkan 21,720 kes, menjadikan kumulatif kes terkini adalah 1,220,446, manakala kes aktif sebanyak 255,534.

Mengenai kes kematian baharu, 178 kematian dilaporkan melibatkan 155 warganegara manakala 23 lagi warga asing dengan 35 kes kematian direkodkan di rumah atau ‘brought-in-dead’ (BID) melibatkan 26 warga tempatan dan sembilan bukan warganegara.

Sementara itu, sejumlah 1,060 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 528 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Mengenai 42 kluster baharu yang dikenal pasti, Dr Noor Hisham berkata 23 daripadanya adalah kluster tempat kerja, 15 kluster komuniti, dua kluster pusat tahanan, dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko dan keagamaan.

Berdasarkan data terkini, beliau berkata nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 1.04 dengan semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, dan Negeri Sembilan.

Perlis mencatat nilai tertinggi iaitu 1.33, diikuti oleh Sarawak (1.21) dan Sabah (nilai RT 1.19), Pulau Pinang (1.18), Kelantan (1.14), Kedah (1.10), Perak (1.10), Johor (1.07), Pahang (1.06), Melaka (1.06), dan Terengganu (1.05).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)