
COVID-19: Kes aktif kebolehjangkitan hampiri 30,000, kes baharu 2,232 – KP Kesihatan
KUALA LUMPUR,. Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini menghampiri 30,000 kes, selepas Malaysia mencatatkan 2,232 kes harian baharu hari ini, dengan Selangor kekal menjadi negeri yang melaporkan kes tertinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata, Selangor melaporkan 557 kes (25 peratus daripada keseluruhan kes), dengan 404 kes (72.5 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 396 kes (17.7 peratus) dan Sabah sebanyak 374 kes (16.8 peratus).
“Jumlah kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 138,224 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 28,554 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham memaklumkan menerusi jumlah kes baharu yang dilaporkan, enam daripadanya merupakan kes import, manakala penularan tempatan pula adalah 2,226 kes, dengan 1,769 melibatkan warga Malaysia (79.5 peratus) dan selebihnya bukan warganegara.
Ketiga-tiga negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi itu, merupakan antara enam negeri yang bakal dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu, bermula Rabu (12 Januari) ini.
Dr Noor Hisham berkata sebanyak 194 kes (8.7 peratus) yang dilaporkan berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara, yang membabitkan Kluster Tembok Choh (157 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (20 kes), Kluster Tembok Gajah (12 kes), dan Kluster Pagar Siput (lima kes).
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata empat kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah 555 kes.
Katanya tiga mangsa adalah dari Selangor dan satu dari Sabah, berumur antara 47 hingga 56 tahun.
“Sehingga kini, terdapat 187 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 87 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Ketiga-tiga negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi itu, merupakan antara enam negeri yang bakal dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu, bermula Rabu (12 Jan) ini.
Dr Noor Hisham berkata sebanyak 194 kes (8.7 peratus) yang dilaporkan berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara, yang membabitkan Kluster Tembok Choh (157 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (20 kes), Kluster Tembok Gajah (12 kes), dan Kluster Pagar Siput (lima kes).
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata empat kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah 555 kes.
Katanya tiga mangsa adalah dari Selangor dan satu dari Sabah, berumur antara 47 hingga 56 tahun.
“Sehingga kini, terdapat 187 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 87 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Kes sembuh hari ini mencatatkan 1,006 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 109,115 kes (78.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengesan lapan lagi kluster baharu, menjadikan jumlah kluster aktif kini 258 kluster, dengan 68 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.
Kluster baharu iaitu Kluster Jalan Keluli di Johor mencatatkan 42 kes, Kluster Medan Idaman (Kuala Lumpur – 10 kes), Kluster Jelita (Sarawak – lapan kes), Kluster Kampung Renok (Kelantan – 23 kes), Kluster Kampung Geting (Kelantan – 11 kes), Kluster Kubang Bujuk (Terengganu – 10 kes), Kluster Lumut Barat (Perak – 11 kes) dan Kluster Kejaya (Terengganu – sembilan kes).
Beliau berkata, kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tembok Choh (157 kes), Kluster Teratai (83 kes) dan Kluster Beringin (48 kes).
Dr Noor Hisham juga berkata, PKP di enam negeri yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi, adalah selaras langkah proaktif kerajaan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia.
Katanya pihaknya menyambut baik pengumuman itu, yang juga melibatkan negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga selama 14 hari hingga 26 Januari.
— Bernama