COVID-19: JKNS hasil video hargai khidmat bakti pemandu jabatan

COVID-19: JKNS hasil video hargai khidmat bakti pemandu jabatan

KOTA KINABALU,. Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menghasilkan video khas berdurasi tiga minit enam saat bagi menghargai tugas pemandu jabatan yang komited mengambil dan menghantar sampel COVID-19 selain menghantar kelengkapan kesihatan ke hospital dan klinik di seluruh negeri.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Christina Rundi dalam kenyataan berkata video khas itu diterbitkan bagi mengabadikan usaha pemandu-pemandu JKNS yang bertugas sepanjang tempoh mencabar ini selain mengenang pengorbanan, jasa serta khidmat bakti mereka dalam menjayakan operasi tersebut.

“Mereka bertugas membawa semua sampel makmal dari pantai timur setiap hari. Tugasan ini perlu dilaksanakan memandangkan sistem pengangkutan darat dan udara terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. Semalam (Isnin) adalah hari ke-73 operasi dan ia masih diteruskan tanpa gagal,” katanya.

Sebanyak 20 pemandu JKNS terbabit dalam tugas itu yang dilaksanakan secara bergilir-gilir termasuk menghantar peralatan perlindungan diri (PPE).

Sampel COVID-19 dari seluruh negeri berkenaan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu.

Mengenai perkembangan COVID-19 di Sabah, Dr Christina berkata terdapat satu kes terbaru direkodkan di Putatan setakat semalam menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 bagi negeri ini ialah 347 kes manakala hanya 10 kes sedang dirawat di enam hospital berpakar di Sabah.

Kes terbabit adalah kes tempatan yang dikesan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )