COVID-19: Jangan keluar tabungan haji jika tidak mendesak – CEO TH

COVID-19: Jangan keluar tabungan haji jika tidak mendesak – CEO TH

KUALA LUMPUR,. Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati pendeposit untuk mengekalkan simpanan masing-masing, jika keadaan tidak terlalu mendesak susulan kesan ekonomi COVID-19 ke atas kehidupan seharian.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, berkata simpanan untuk mengerjakan haji adalah penting untuk dikumpul, ditambah dan dikembangkan oleh setiap umat Islam sebagai usaha untuk menyempurnakan rukun Islam kelima.

“TH amat prihatin mengenai kesan COVID-19 terhadap keadaan sosioekonomi pendeposit pada masa yang sukar ini.

“Jika keadaan tidak mendesak, kekalkan tabungan, lebih-lebih lagi pada jumlah minimum pendaftaran haji agar mereka kekal berada dalam tahun giliran haji masing-masing,” katanya kepada BH ketika ditanya saranan TH mengenai kemungkinan berlaku pengeluaran simpanan oleh pendeposit susulan kesan pandemik COVID-19.

TH mencadangkan supaya pendeposit memulakan tabungan haji pada jumlah kecil tetapi berterusan sepanjang tempoh menunggu giliran haji masing-masing dan menambah dari masa ke semasa mengikut kemampuan.

Malah, Nik Mohd Hasyudeen, berkata pihaknya juga menyarankan pendeposit yang mempunyai wang lebih untuk memulakan atau menambah simpanan luar jangka sebagai tabungan kecemasan.

“Simpanan di TH adalah dijamin sepenuhnya oleh kerajaan, agihan keuntungan adalah dikecualikan cukai pendapatan dan kewajipan zakat juga telah disempurnakan.

“Di samping itu, pendeposit turut secara tidak langsung menyumbang dalam menyantuni para Dhuyufurrahman (jemaah haji sebagai tetamu Allah) kerana agihan keuntungan adalah hasil yang diagihkan setelah ditolak kos haji, zakat dan kos pengurusan,” tambah beliau.

Mengenai pendeposit yang ingin berurusan, katanya, pejabat cawangan TH telah dibuka secara berperingkat susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini, tetapi masih ada kaunter perkhidmatan ditutup.

Namun begitu, transaksi TH masih boleh dilakukan dalam talian melalui portal THiJARI atau di bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamik dan CIMB Islamik.

Bagi pendeposit yang tiada akses kepada bank rakan strategik TH dan perkhidmatan dalam talian, pendeposit dimohon untuk menghubungi Pusat Panggilan TH (THCC) di talian 03-6207 1919 bagi membuat temu janji dengan Pejabat Cawangan TH yang berdekatan.

Nik Mohd Hasyudeen, berkata sepanjang tempoh PKP setakat ini, TH sudah menyelesai lebih 100 permintaan temu janji bagi menyantuni pendeposit.

“TH sentiasa berusaha memberi perkhidmatan kepada pendeposit sepanjang tempoh PKP ini berkuat kuasa,” katanya.

–BH

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )