COVID-19: Bantuan berjalan lancar di seluruh Sabah

COVID-19: Bantuan berjalan lancar di seluruh Sabah

KOTA KINABALU,. Seramai 63,092 individu seluruh Sabah, sudah menerima Bantuan Khas COVID-19 yang dibayar secara sekali bayar RM300 seorang, membabitkan agihan peruntukan berjumlah hampir RM19 juta.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dalam kenyataannya semalam, berkata penerima terbabit adalah untuk kategori ‘vulnerable’ di seluruh negeri itu.

“Setakat semalam, bantuan telah disampaikan untuk golongan penerima bantuan am seramai 19,795 orang, anak yatim (2,559); orang tua (28,779); kanak-kanak (6,527); orang kurang upaya dan pesakit kronik (2,294); penerima elaun pekerja cacat (1,871) dan penerima bantuan OKU tidak upaya kerja (1,267) orang.

“Selain itu, seramai 134 orang pesakit COVID-19 telah menerima bantuan khas kepada pesakit atau keluarga pesakit COVID-19 sebanyak RM500 secara sekali bayar,” katanya.

Dalam kenyataan media yang sama, Shafie turut berkata bantuan untuk rakyat yang terjejas ‘one-off’ sebanyak RM500 telah diberikan.

“Bantuan juga diberikan kepada Ketua Isi Rumah Miskin (KIRM) dan Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) seramai 15,713 orang dan golongan B40 terdiri dari kategori terkeluar dalam sistem E-Kasih (41,115); golongan petani, penternak dan nelayan (9,141) dan golongan malim gunung, porter, pemandu pelancong dan artis bebas (231).

“Selain itu, bantuan untuk kategori pemandu teksi, bas dan lori seramai 13,132 orang sedang diproses mengikut kategori masing-masing.

“Seramai 13,870 dari anggaran 30,000 orang rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia, bantuan boleh diproses untuk fasa pertama,” katanya.

Shafie turut berkata bantuan makanan untuk pesakit dalam pemantauan (PUI) di pusat kuarantin dan kuarantin di rumah turut diberikan.

“Perbelanjaan bantuan makanan berjumlah RM4,461 diperuntukkan untuk 131 orang di pusat kuarantin manakala kuarantin di rumah membabitkan 966 keluarga dengan perbelanjaan bantuan RM 193,200.

“Peruntukan bantuan makanan untuk kuarantin sementara jalanan (gelandangan) melibatkan 20 orang berjumlah RM 2,354.

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan bantuan bagi kategori ini adalah sebanyak RM200,015 dan jumlah ini akan bertambah dari masa ke semasa tertakluk kepada bilangan pesakit PUI yang ditempatkan di pusat kuarantin,” katanya.

Shafie turut memberitahu, bantuan berbentuk makanan disampaikan terus kepada Ketua Keluarga membabitkan 60 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan 158,143 orang ketua isi rumah dan bantuan makanan ini masih berterusan dan sedang dalam proses pengagihan di seluruh negeri Sabah.

Beliau turut menjelaskan bantuan makanan kepada pelajar Sabah di Semenanjung Malaysia yang berjumlah RM874,100 diagihkan pelajar melalui Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur membabitkan 1,818 orang pelajar institut pendidikan awam dan swasta.

Shafie berkata, beliau berpuas hati dengan status pelaksanaan Pakej Bantuan Covid-19 di seluruh negeri itu.

“Saya telah mengarahkan Sabah Covid-19 Command Centre terus memantau pengagihan bantuan yang telah diumumkan pada 25 Mac lalu,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )