COVID-19: 31 kes baharu, semalam tiada kematian – Dr Noor Hisham

COVID-19: 31 kes baharu, semalam tiada kematian – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 31 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini membabitkan 28 kes penularan dalam negara dan tiga kes import, menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 9,946, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada 28 kes penularan tempatan, 19 kes adalah warga Malaysia manakala sembilan lagi bukan warganegara, dengan 23 kes di Sabah, empat di Negeri Sembilan melibatkan Kluster Bunga dan satu kes di Kluster Sungai, Kedah.

“Di Sabah, 17 kes daripada Kluster Benteng Lahad Datu (LD) dengan lapan kes melibatkan bukan warganegara, satu kes saringan warga emas di Klinik Kesihatan Merotai, satu kes saringan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Lahad Datu.

“Satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Queen Kudat, satu kes saringan rujukan ke Hospital Tawau, satu kes saringan kontak rapat bagi kes ke-9,454 iaitu anak kepada kes ke-9,454, dan satu kes saringan tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Bagi tiga kes import pula, Dr Noor Hisham berkata kesemuanya adalah dari Indonesia melibatkan dua kes warga Malaysia di Sabah dan satu kes warga Indonesia di Kuala Lumpur, yang memasuki negara pada 31 Ogos lepas.

Jelas Dr Noor Hisham, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 615 kes, manakala terdapat tujuh kes pulih menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 9,203 (92.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Sehingga kini, terdapat 11 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan lima kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu, kekal 128 kes.

Mengenai status terkini Kluster Benteng LD, Dr Noor Hisham berkata sehingga 12 tengah hari ini, seramai 5,402 individu telah disaring melibatkan 1,421 individu di Lahad Datu dan 3,981 lagi di Tawau, dengan 17 kes baharu dikesan, iaitu satu kes di Lahad Datu dan selebihnya di Tawau.

“Berdasarkan keseluruhan jumlah saringan bagi kluster ini, pecahannya melibatkan 913 banduan dan tahanan iaitu 391 kes dikesan positif, 987 kakitangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau dengan 10 kes positif.

“Sejumlah 1,234 ahli keluarga kakitangan dan banduan dengan sembilan dikesan positif, 1,387 kontak sosial dengan 10 dikesan positif, manakala 881 pegawai agensi kerajaan lain tidak dikesan positif COVID-19,” katanya.

Bagi Kluster Bunga pula, seramai 59 individu telah disaring dengan empat kes baharu dilaporkan melalui persampelan kedua, bagi sejumlah 22 krew kapal yang masih berada di atas kapal yang berlabuh di Port Dickson, sekali gus menjadikan jumlah kes positif dalam kluster berkenaan adalah 10 kes.

“Pecahan saringan melibatkan Selangor (10 individu disaring) iaitu empat dikesan positif dan enam individu negatif, di Negeri Sembilan (45 disaring) iaitu enam kes dikesan positif COVID-19 dan 39 individu negatif, manakala di Terengganu empat yang disaring adalah negatif,” katanya, menambah saringan melibatkan 45 warga Malaysia dan 14 bukan warganegara.

Sementara itu, bagi Kluster Sungai sejumlah 16,775 individu telah disaring dan satu kes baharu dikesan positif di Kedah.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )