COVID-19: 1,889 kes baharu, menunjukkan trend peningkatan – Dr Noor Hisham

COVID-19: 1,889 kes baharu, menunjukkan trend peningkatan – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR,. Jumlah kes COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh dua hari terakhir, apabila mencatatkan sebanyak 1,889 kes hari ini berbanding 1,767 kes semalam

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara sebanyak 365,829 kes.

Menerusi ciapan di laman Twitter, Dr Noor Hisham berkata Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 517 kes, diikuti Sarawak 489 kes dan Kelantan sebanyak 226 kes.

Perlis yang merekodkan sifar kes semalam pula mencatatkan tiga kes baharu hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kemudian Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 1,485 kes sembuh dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 347,780 kes.
Dr Noor Hisham berkata, lapan kematian turut direkodkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,353 kes.

Beliau berkata kes kematian hari ini pula membabitkan lima di Sarawak dan masing-masing satu di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Sebanyak 204 kes pula dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 79 kes memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, sebanyak tujuh lagi kluster baharu turut dikenal pasti hari ini, membabitkan enam kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.

Kluster tempat kerja berkenaan ialah Kluster Jalan Khidmat dan Kluster Batu Sepuluh di Sabah, Kluster Jalan Mohd Taib di Selangor, Kluster Jalan Sempilai di Pulau Pinang, Kluster Permatang Berangan di Kedah dan Kluster Jalan Gapam di Melaka.

Kluster komuniti pula melibatkan Kluster Jalan Sahadi di Selangor, kata beliau.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )