Covid: 1,575 Kes Baharu, Tiga Lagi Kematian Dicatat – Kp Kesihatan

Covid: 1,575 Kes Baharu, Tiga Lagi Kematian Dicatat – Kp Kesihatan

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 1,575 kes baharu COVID-19 selain tiga kematian dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga sebanyak 2,042 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatih kes sembuh daripada COVID-19 di negara ini sebanyak 302,662, sementara angka keseluruhan kematian kini berjumlah 1,203 kes.

“Daripada jumlah kes baharu hari ini, 1,568 merupakan kes tempatan melibatkan 1,269 warga tempatan dan 299 bukan warganegara, sementara tujuh lagi adalah kes import,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Twitter rasmi beliau.

Dr Noor Hisham berkata Selangor masih melaporkan kes harian baharu paling tinggi iaitu 751 kes, diikuti Sarawak (173 kes) dan Johor (135 kes).

Sementara itu, katanya sebanyak 147 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 67 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata tiga kematian yang direkodkan hari ini, iaitu masing-masing satu di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur, melibatkan dua warga tempatan dan seorang warga asing berumur antara 59 dan 69 tahun dengan kesemuanya menghidap penyakit kronik.

Sementara itu, beliau berkata 10 kluster baharu dikenal pasti dalam tempoh 24 jam lalu merangkumi lima di tempat kerja dan lima lagi berkaitan penularan tempatan.

“Kluster tempat kerja melibatkan Jalan Industri Dua di Selangor, Kluster Jalan Pelepas Dua (Johor), Kluster Lintang Bayan Lepas (Pulau Pinang), Kluster Jalan Laksamana (Perak) dan Kluster Ladang Bukit (Terengganu).

“Kluster komuniti pula dikesan di Sarawak iaitu Jalan Main Bazaar, Sena dan Buloh Pasi serta dua di Selangor iaitu Jalan Tempua dan Jalan Kunci Air,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kluster yang aktif setakat ini ialah sebanyak 440 kluster dengan 60 daripadanya mencatatkan pertambahan kes hari ini.

Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini ialah Kluster Lintang Bayan Lepas dengan 26 kes, Kluster DTI Persiaran Wawasan (26) dan Kluster Teknologi Emas (24).

Jumlah kluster yang telah tamat pula ialah 792 kluster termasuk 10 yang tamat hari ini, katanya.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )